Anda di sini

Ingkar PKP: 11 ditangkap di seluruh Sarawak

 

KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak merekodkan 11 tangkapan bersabit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri sepanjang tempoh penguatkuasaan dari jam 8 malam tadi hingga 6 pagi, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (gambar) berkata 11 yang ditangkap adalah tujuh di Mukah, Lawas (2) dan Miri (2).

"Operasi penguatkuasaan dari malam tadi mencatatkan 11 tangkapan di seluruh negeri yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita di Mukah, seorang lelaki dan seorang wanita di Lawas dan juga Miri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek ditangkap kerana ingkar PKP yang melarang orang awam untuk keluar selepas jam 7 petang bermula Selasa lalu.

Menurutnya, semua suspek disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2020.

Kesemua suspek jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan juga, terdapat beberapa individu ditahan di lokasi-lokasi lain namun dibebaskan selepas diberikan amaran oleh anggota operasi.

Aidi pada Rabu turut memberitahu Sarawak mencatatkan kira-kira 92 peratus pematuhan PKP, apabila jumlah orang awam dan bilangan kenderaan yang keluar semakin berkurangan.

"Diharapkan masyarakat akan terus memberikan kerjasama dalam kita bersama-sama menghentikan rantaian jangkitan COVID-19," katanya.

Advertisement