Anda di sini

Hanya peniaga pasar basah, kering dibenar beroperasi di Pasar Tamu Sibu Jaya

Advertisement
Justani memberi penerangan sebelum mengetuai anggota penguatkuasa MDLBS melakukan pemantauan di Pasar Tamu Sibu Jaya pagi tadi.
Justani memberi penerangan sebelum mengetuai anggota penguatkuasa MDLBS melakukan pemantauan di Pasar Tamu Sibu Jaya pagi tadi.

SIBU: Hanya peniaga pasar basah dan kering sahaja dibenarkan beroperasi di Pasar Tamu Sibu Jaya, kata Setiausaha Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Justani Joni.

Menurutnya, perkara itu termaktub dalam larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana semua pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya dilarang sama sekali.

Katanya, MDLBS akan bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan semua pihak patuh kepada arahan yang dikeluarkan.

"Sepanjang tempoh PKP hanya pasar awam dan penjaja menjual barangan basah serta keperluan dapur dibenarkan beroperasi sehingga jam 7 petang.

"Jadi saya mohon penjaja harian supaya patuh terhadap arahan yang telah dikeluarkan kerajaan," katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai anggota penguatkuasa MDLBS melakukan tinjauan di sekitar pasar tamu di sini.

Menurut Justani, terdapat 40 orang peniaga pasar basah dan kering di Pasar Tamu Sibu Jaya, manakala selebihnya ialah penjaja harian.

Ditanya, mengenai kekecohan melibatkan penjaja harian dengan sekumpulan anggota penguatkuasa di pasar tamu berkenaan pada Selasa, Justani memberitahu pihaknya sedang meneliti perkara itu.

Ujar beliau, kejadian seumpama itu diharapkan tidak kembali berulang pada masa akan datang.

"Mana-mana pihak yang ingkar sepanjang tempoh ini (PKP), kita tidak teragak-agak meminta bantuan polis untuk mengambil tindakan," jelasnya.

Pada Selasa, satu klip video tular di media sosial mengenai insiden kekecohan di pasar tamu tersebut.

Beliau pada masa sama berharap orang ramai patuh dan tidak melanggar PKP bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat dihentikan.

Katanya, kedegilan dan sifat pentingkan diri sendiri dalam situasi kritikal sekarang akan hanya menyusahkan pelbagai pihak khususnya yang berada di barisan hadapan.

  • oleh
  • Advertisement