Anda di sini

Doa Muhyiddin untuk rakyat undang sebak

Advertisement
 Seorang kakitangan Bernama kelihatan mengaminkan doa yang dibaca oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengikuti siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri ketika bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam. Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. — Gambar Bernama
SEBAK: Seorang kakitangan Bernama kelihatan mengaminkan doa yang dibaca oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengikuti siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri ketika bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam. Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Bacaan doa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memohon perlindungan negara daripada wabak COVID-19 mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia ketika beliau menyampaikan Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial semalam.

Ramai daripada mereka yang mengikuti perutusan khas itu menyatakan demikian dalam catatan masing-masing dalam media sosial termasuk Facebook dan Instagram.

Semasa memimpin bacaan doa itu, Muhyiddin memulakannya dengan surah Al-Fatihah disusuli doa memohon kepada Allah SWT agar mengampuni dosa umat manusia serta melindungi mereka daripada penyakit dan wabak berbahaya.

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Engkau ampunilah dosa-dosa kami. Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami. Engkau lindungilah hamba-hamba Mu yang kerdil ini dari segala musibah. Engkau jauhilah diri kami dari pe-nyakit yang berbahaya dan wabak yang mengancam nyawa. Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk.

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan Mu yang berat ini. Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami. Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami, Ya Allah, tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepada Mu,” kata Muhyiddin dalam doanya.

Perdana Menteri turut berdoa memohon agar Allah SWT memberi kesembuhan kepada mereka yang dijangkiti wabak COVID-19 sambil memuji kekuasaan Allah SWT terhadap hambaNya.

“Ya Allah Ya Rahman Ya Syaafi. Engkau berilah kesembuhan kepada saudara-saudara kami yang dijangkiti wabak Coronavirus walau di mana sahaja mereka berada. Sesungguhnya, tiada penya-kit yang tidak dapat Engkau sembuhkan Ya Allah.

“Tiada mara bahaya yang tidak dapat Engkau jauhinya dari kami Ya Allah. Kami bermohon kepada Mu Ya Allah Lindungilah kami. Selamatkanlah kami. Sejahterakanlah hidup kami,” kata Muhyddin dalam doa beliau.

Perdana Menteri kemudian mengakhiri doa dan Perutusan Khas itu dengan sebaris doa pelindung yang bermaksud: “Dengan nama Allah yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi atau di langit. Dan, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Pada awal perutusan beliau itu, Muhyiddin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Pelanjutan tempoh itu diumumkan lebih awal supaya rakyat dapat lebih bersedia, katanya. — Bernama

Advertisement