Anda di sini

COVID-19: Lanjutan PKP disambut baik namun menambah derita golongan B40 terutamanya ibu bersalin

Advertisement
Sabri bersama isterinya bermanja dengan bayi mereka yang baharu berusia 16 hari. 
Sabri bersama isterinya bermanja dengan bayi mereka yang baharu berusia 16 hari. 

KUCHING: Lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 disambut baik masyarakat secara umum bagi membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini. 

Namun, ia amat memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah khususnya mereka yang bergaji harian.

Kesukaran itu dialami golongan B40, lebih-lebih lagi mempunyai keluarga yang baharu melahirkan anak. 

Menurut Mohd Sabri Azman, 23, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, isterinya, Mika Arissa Suhaidi, 20, baharu melahirkan cahaya mata sulung mereka. 

Katanya, bayi mereka baharu berusia 16 hari, isteri masih dalam tempoh berpantang dan terpaksa berulang alik dua hari sekali ke klinik kesihatan. 

"Rasa risau dan takut dengan wabak ini memang ada tetapi terpaksa keluar rumah untuk ke klinik. 

"Tindakan melanjutkan tempoh PKP ini baik untuk menggelak orang ramai keluar dari rumah tanpa sebab munasabah namun bagi kami yang berpendapat rendah ini kesukaran dari segi kewangan itu amat dirasai, tambahan pula ketika ini amat memerlukan," katanya ketika ditemui Utusan Borneo hari ini. 

Pada masa sama dia memberitahu, inisiatif untuk golongan ibu iaitu Bantuan Ibu Bersalin sudah dipohon Januari lalu juga belum diterima. 

Sehubungan itu, Sabri berharap kerajaan Sarawak menerusi kementerian berkaitan menyegerakan pemberian bantuan tersebut supaya dapat dimanfaatkan pada waktu sukar ini. 

Isteri Azizul mencium bayinya yang didukungnya.
Isteri Azizul mencium bayinya yang didukungnya.

Pandangan yang sama turut diluahkan Azizul Jainudin, 30, penambahan tempoh PKP ada kebaikan dan keburukannya. 

Menurutnya, dari sudut kebaikan, ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat yang ingkar dan tidak bertanggungjawab dalam membantu kerajaan menangani COVID-19 yang dihadapi masa ini. 

"Disebabkan golongan degil ini, tempoh PKP dilanjutkan yang mana bagi golongan mencari nafkah secara gaji harian seperti pekerja buruh binaan, khidmat urutan dan sebagainya, pendek kata tidak kerja tiada gaji, ini menyukarkan kami," tegasnya. 

Malah, katanya, isterinya, Siti Noorzana Mustapha, 20, baharu melahirkan anak kedua mereka. 

"Hari ini bayi kami baru berusia 16 hari, apa yang kami harapkan bantuan untuk ibu bersalin ini disegerakan bagi membantu meringankan beban golongan seperti kami ini," tambahnya. 

Suria berharap ada bantuan segera dihulurkan kepada mereka memerlukan.
Suria berharap ada bantuan segera dihulurkan kepada mereka memerlukan.

Sementara itu, seorang pemandu lori, Suria Rabaie, 36, berkata, dia yang menerima gaji harian amat terkesan dengan pelaksanaan PKP ini, lebih-lebih lagi tempoh itu dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

"Sekarang terputus mata pencarian kerana tiada gaji, hanya terima Bantuan Sara Hidup (BSH) RM200 untuk digunakan bagi membeli barang keperluan. 

"Namun, ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan lain seperti sewa rumah, bil dan sebagainya," ujarnya sambil menambah ketika ini kewangannya umpama 'nyawa-nyawa ikan'. 

Justeru, dia berharap orang awam mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan kerajaan supaya penularan wabak ini dapat dibasmi sekali gus membuka semula pintu rezeki untuk mereka. 

  • oleh
  • Advertisement