Anda di sini

Aktiviti derma darah diteruskan bagi membantu Hospital Miri

Advertisement
 (Dari dua kanan) Karambir, Lee bersama jawatankuasa yang lain menunjukkan tanda bagus sempena aktiviti menderma darah di Dewan Latihan PBSM Miri bermula semalam.
BEROPERASI: (Dari dua kanan) Karambir, Lee bersama jawatankuasa yang lain menunjukkan tanda bagus sempena aktiviti menderma darah di Dewan Latihan PBSM Miri bermula semalam.

MIRI: Dewan Latihan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri telah beroperasi bagi aktiviti menderma darah bermula semalam, jelas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah PBSM Miri Karambir Singh.

Katanya, masyarakat setempat khususnya penderma aktif dialu-alukan menyertai aktiviti menderma darah terbabit berikutan bekalan darah yang semakin berkurangan.

“Aktiviti menderma darah berkenaan akan diadakan tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Sabtu dan Ahad.

“Untuk hari ini (semalam), kita mengadakan dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 1.30 petang hingga 3.30 petang.

“Manakala untuk hari Sabtu dan Ahad, akan diadakan bermula jam 8.30 pagi hingga 2.30 petang.

“Untuk di Bank Darah Hospital Miri, mereka turut mengadakan aktiviti menderma darah seperti biasa berdasarkan jadual yang telah mereka susun,” ujarnya.

Untuk aktiviti menderma darah masa ini jelas Karambir, pihaknya akan memaksimumkan sehingga 50 orang sahaja untuk tempoh sehari bagi setiap tempat sebagai langkah yang disarankan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Ia sebagai langkah pencegahan dan mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan masa kini bagi memastikan keselesaan dan keselamatan ketika menderma darah.

Penderma darah diingatkan agar membawa buku atau kad derma darah masing-masing untuk ditunjukkan kepada pihak polis atau pihak berkuasa sekiranya ditahan sewaktu sekatan jalan.

Mereka yang ingin menderma darah di PBSM Miri boleh menghubungi beliau di talian 016-878 5500 manakala mereka yang ingin menderma di Hospital Miri diminta menghubungi bank darah terdahulu untuk temu janji di talian 085-416 657.

Advertisement