Anda di sini

Tiada atlet SUKMA Sabah positif COVID-19 atau dikuarantin

Advertisement
PHOONG
PHOONG

KOTA KINABALU: Tiada atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah dilaporkan positif COVID-19 atau dikuarantin setakat ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, semua atlet telah diarahkan menjalani latihan di rumah masing-masing berpandukan program latihan yang disediakan jurulatih.

Arahan menjalani latihan di rumah masing-masing itu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac.

Sebagai makluman, hari ini (25 Mac), kerajaan telah mengumumkan tempoh PKP itu dilanjutkan sehingga 14 April.

"Nasihat saya kepada semua atlet Sabah, teruskan latihan di rumah, disiplinkan diri untuk teruskan latihan yang telah diberikan oleh jurulatih masing-masing dalam tempoh PKP ini," kata Phoong dalam kenyataannya, sebentar tadi.

Katanya, jurulatih boleh memantau atlet menerusi `video talk' bagi memastikan mereka menjalankan latihan seperti yang diminta.

Phoong berkata, kementeriannya tidak menggalakkan penyertaan pasukan atau atlet ke kejohanan atau latihan di luar negara apabila COVID-19 mula menular awal tahun ini.

"Semua latihan atau penyertaan kejohanan ke China adalah tidak dibenarkan. Pasukan yang telah menjalankan latihan atau penyertaan kejohanan di luar negara telah dinasihatkan untuk kuarantinkan diri di rumah selama 14 hari," katanya.

Menurutnya, wabak COVID-19 telah menjejaskan persiapan pasukan terutama yang telah merancang menjalani latihan atau menyertai kejohanan di luar negara.

"Kejohanan peringkat antarabangsa dapat membantu atlet atau pasukan meningkatkan pengalaman dan memperbaiki kelemahan yang mungkin tidak kelihatan semasa latihan atau kejohanan peringkat kebangsaan.

"Bagaimanapun kita terpaksa akur tidak dapat melaksanakan ini (menyertai kejohanan atau menjalani latihan di luar negara)  buat masa ini ekoran wabak COVID-19 dan ini tentunya menjejaskan persiapan kita. Apapun, semua pasukan negeri lain juga menghadapi masalah sama," katanya.

Phoong berkata, pihaknya telah mensasarkan penyertaan 350-400 atlet ke SUKMA 2020 Johor yang dijadualkan berlangsung pada Julai jika tidak ada perubahan ekoran wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

"Sekiranya atlet tidak mencapai tahap prestasi yang sepatutnya, kami akan menilai semula jumlah penyertaan ke SUKMA tersebut," kata Phoong.

  • oleh
  • Advertisement