Anda di sini

SGA guna Group Chat pantau latihan atlet

 Skuad gimnastik artistik lelaki SUKMA Sabah sempat berlatih dan mengadakan pertandingan persahabatan di Jakarta sebelum PKP dikuatkuasakan. Kelihatan gambar skuad gimnastik bergambar selepas majlis penyampaian hadiah.
SEBELUM PKP: Skuad gimnastik artistik lelaki SUKMA Sabah sempat berlatih dan mengadakan pertandingan persahabatan di Jakarta sebelum PKP dikuatkuasakan. Kelihatan gambar skuad gimnastik bergambar selepas majlis penyampaian hadiah.

KOTA KINABALU: Persatuan Gimnastik Sabah (SGA) kini memantau latihan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) gimnastik artistiknya melalui aplikasi `WhatsApp Group'.

Jurulatih gimnastik artistik wanita SGA Liew Tong Ee berkata, latihan atletnya diteruskan walaupun selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan berkuat kuasa 18 Mac hingga 31 Mac ini tetapi mereka hanya hanya berlatih di rumah masing-masing.

"Kami sediakan program latihan untuk mereka berlatih di rumah masing-masing. Kami masih berinteraksi untuk memantau latihan mereka menerusi 'Group Chat' terutamanya aplikasi `WhatsApp Group'.

"Selain dipantau oleh jurulatih-jurulatih, pemantauan juga dibantu oleh ibu bapa atlet. Mereka menghantar rakaman video latihan anak-anak mereka kepada saya," kata Tong Ee ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, mereka sepatutnya mengadakan latihan pusat di sini pada 16-22 Mac tetapi telah dibatalkan ekoran PKP.

"Atlet dari Sandakan sudah datang pada 14 Mac tetapi balik pada 18 Mac. Bagaimanapun kami sempat buat ujian rutin setiap atlet wanita pada 17 Mac," kata Tong Ee yang turut memantau latihan atlet lelaki.

Sabah akan diwakili skuad penuh (enam lelaki dan enam wanita) ke SUKMA 2020 Johor selepas Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah turut memberi lampu hijau kepada SGA menyenaraikan atlet wanita.

Pada SUKMA 2018 Perak, Sabah yang hanya diwakili atlet lelaki membawa balik dua pingat perak dan dua gangsa.

Atlet gimnastik artistik lelaki yang telah tersenarai ke SUKMA 2020 Johor ialah Brandon Denoley Luise, Ammar Zafi Mohd Firdaus, Abd Izzat Daniel Rauf, Liew Jun Xiang, Charlie Richie Chong dan Jacob Hezron Andreas.

Atlet wanita pula terdiri daripada Felicity Grace Sew Pei En, Nur Farisha Atiqah Shuaili, Ammanda Wong Yeah Chean, Jill Avie Horatio, Cherfie Resie Chong dan Natalie Yap.

Sambil itu, pasukan lelaki itu sempat berkunjung ke Jakarta, Indonesia untuk latihan dan pertandingan persahabatan dengan pasukan junior kebangsaan negara berkenaan pada 4-10 Mac lalu.

Pertandingan persahabatan itu menyaksikan Sabah menang enam pingat emas, dua perak dan enam gangsa.

Brandon penyumbang terbesar dengan lima emas, satu perak dan satu gangsa.

Brandon menang emas dalam acara Keseluruhan, Senam Lantai (Floor Exercise), Kekuda Berpelana (Pommel Horse), Gelang Roman (Roman Rings) dan Palang Tunggal (Horizontal Bar) manakala pingat perak dalam acara Melombol (Vault) dan gangsa dalam acara Palang Sejajar (Parralel Bars).

Satu lagi pingat emas dimenangi Jacob dalam acara Palang Sejajar.

Charlie menang satu perak (Gelang Roman) dan tiga gangsa (Keseluruhan, Melombol dan Palang Tunggal) manakala Jun Xiang menang dua gangsa (Senam Lantai dan Kekuda Berpelana).

Mengiringi pasukan ke Jakarta ialah Azri Omar (jurulatih) dan Loy Billy (hakim).

Sebagai makluman, kelmarin, kerajaan telah mengumumkan PKP telah dilanjutkan sehingga 14 April.

Advertisement