Anda di sini

Sabah umum RM670 juta peruntukan di bawah Pakej Bantuan COVID-19

Advertisement
 Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Jaujan Sambakong (kanan), Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tiga kiri), Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong (dua kanan), Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong JP (dua kiri) dan Ketua Pengarah JPAN Datuk Dat
UMUM PAKEJ: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Jaujan Sambakong (kanan), Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tiga kiri), Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong (dua kanan), Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong JP (dua kiri) dan Ketua Pengarah JPAN Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai ( kiri).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM670 juta di bawah Pakej Bantuan COVID-19 Sabah bagi mengurangkan kesan negatif yang menjejaskan kehidupan rakyat berikutan penularan jangkitan wabak COVID-19.

Ketika mengumumkannya, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sebanyak 15 langkah dirangka dan dirangkumkan di bawah pakej berkenaan membabitkan tiga kategori utama.

Menurutnya, pakej itu bertujuan memberi bantuan untuk meringankan bebanan dan kesulitan rakyat berikutan penularan wabak COVID-19.

Katanya, tiga kategori yang ditetapkan itu termasuklah kategori pertama bantuan kepada petugas barisan hadapan dan kedua bantuan kepada rakyat yang terjejas.

Beliau berkata, kategori ketiga melibatkan bantuan memperkukuh perniagaan serta menambah baik kualiti infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar.

"Antara langkah yang dirangka itu termasuklah peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membiayai perbelanjaan kecemasan COVID-19 sebagai penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan mereka yang bertugas di barisan hadapan seperti para doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, dan pegawai imigresen.

"Langkah ini bagi memastikan golongan berkenaan mempunyai bekalan barangan guna pakai dan peralatan yang kritikal dalam menjalankan tugas mereka seperti topeng muka, pembersih tangan (hand sanitizer) serta pakaian pelindung.
 
"Bagi bantuan makanan dan keperluan golongan petugas barisan hadapan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk penyediaan makanan kepada para doktor, jururawat dan kakitangan perubatan; pegawai-pegawai imigresen; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM); Pasukan Polis Marin (PPM); dan juga RELA," katanya pada sidang media khas di sini.

Shafie berkata, sebanyak RM20 juta disediakan untuk meringankan kesulitan hidup golongan yang terjejas akibat COVID-19 termasuk RM18 juta untuk bantuan keperluan bahan makanan di kampung-kampung di Sabah yang  terjejas.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM2 juta lagi disediakan untuk membantu dan meringankan masalah kewangan dalam menampung keperluan harian, termasuk makanan yang dihadapi oleh para pelajar di Sabah dan di Semenanjung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, pihaknya turut bersetuju supaya cukai tanah dikurangkan sebanyak 30 peratus tahun ini dan ia dijangka memberi faedah kepada 232,774 individu; 9,184 syarikat dan 402 selebihnya dalam pelbagai kategori lain.

Katanya, mereka yang sudah menjelaskan cukai tanah untuk 2020, rebat pembayaran akan diberikan pada tahun hadapan.

Selain itu jelasnya, cukai pintu yang dipungut oleh  Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dikurangkan sebanyak 20 peratus untuk 2020.

"Langkah ini akan memberikan faedah kepada seramai 97,641 pembayar cukai pintu di Kota Kinabalu dan 221,470 pembayar di kawasan PBT yang lain. Sekiranya pembayaran cukai sudah dibuat, rebat akan diberikan pada 2021.

"Di bawah pakej ini juga, kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta untuk pelaksanaan 1,000 projek di kampung-kampung dalam kawasan DBKK; Majlis Perbandaran Sandakan; Majlis Perbandaran Tawau dan semua daerah termasuk daerah-daerah kecil di seluruh Sabah.

"Projek-projek kecil yang akan dilaksanakan ini akan menumpu kepada usaha menambah baik kualiti dan liputan infrastruktur serta kemudahan asas di luar bandar Sabah," katanya.

Beliau akan meminta kementerian dan jabatan pelaksana untuk menggunakan segala kaedah yang dibenarkan oleh Prosedur Kewangan Kerajaan untuk mempercepatkan penyampaian bantuan-bantuan yang diumumkan.  
 
Pihaknya juga merancang untuk memperkenalkan pakej kedua yang akan menumpu kepada usaha meransang ekonomi dan memangkin pelaburan di Sabah selepas tempoh PKP berakhir.

"Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam, termasuk mengambil risiko dari aspek keselamatan diri demi melindungi Sabah dari penularan wabak COVID-19.

"Saya juga ingin menasihati semua agar mematuhi PKP yang sedang berkuatkuasa dan tinggal di rumah bersama keluarga tercinta, basuh tangan dengan kerap dan jaga kebersihan serta keselamatan diri masing-masing," katanya.

  • oleh
  • Advertisement