Anda di sini

Mahkamah tangguh pendengaran permohonan Najib dan tiga lagi ketepikan saman Deepak ke 14 Mei

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) dan tiga lagi untuk mengetepikan saman berjumlah RM676 juta yang difailkan peniaga permaidani J R Deepak Jaikishan akan didengar di mahkamah pada 14 Mei depan.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada laman sesawang mahkamah, pendengaran kes itu yang dijadualkan bermula hari ini ditangguhkan ke 14 Mei berikutan penutupan mahkamah sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak COVID-19. 

Kes itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman  Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman berkenaan pada 7 Januari 2019 sementara dua lagi defendan --  Boustead Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development  Sdn Bhd, memfailkan permohonan mereka pada 7 Disember 2018. 

Semua defendan memfailkan permohonan mereka dengan alasan mereka tidak terlibat di dalam konspirasi yang didakwa.

Deepak selaku plaintif memfailkan saman itu pada 12 Oktober 2018, mendakwa beliau mengalami kerugian disebabkan konspirasi, penipuan dan pengaruh yang tidak wajar daripada defendan-defendan dalam urusan hartanah yang didakwa mengakibatkan kerugian besar kepada syarikatnya.

Deepak mendakwa, beliau sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn Bhd  menandatangani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn Bhd, Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja, dalam Daerah Petaling.

Deepak mendakwa pembayaran deposit RM13 juta telah dibayar oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Berhad berjumlah RM72.5 juta oleh syarikatnya itu dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia .

Bagaimanapun, beliau mendakwa Awan Megah enggan mengemukakan  geran asal bagi tanah-tanah  terbabit untuk dipindah milik kepada Astacanggih.

Deepak mendakwa akibat konspirasi dan campur tangan Najib dan Rosmah yang masing-masing dinamakan selaku defendan pertama dan kedua, beliau terpaksa menjual 80 peratus (16 juta unit saham)  daripada saham dimilikinya dalam Astacanggih kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, Bakti Wira Development.

Sehubungan itu, Deepak menuntut ganti rugi am RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi teruk RM26 juta. - Bernama