Anda di sini

Liga A sukan aktif terakhir di Australia digantung semalam

Advertisement

SYDNEY, Australia: Sukan aktif terakhir di Australia, bola sepak Liga A (Australia), akhirnya digantung semalam dalam usaha untuk menangani penularan koronavirus (COVID-19), dengan pengurusan pertandingan berkata ia sudah menjadi “misi mustahil”.

Keputusan itu dibuat menyusuli tindakan Liga Ragbi Kebangsaan (NRL) dan sukan yang paling popular di negara itu, Aussie Rules, membuat keputusan yang sama menggantung sukan mereka dalam tempoh dua hari terakhir.

Kesatuan Ragbi, kriket, bola keranjang dan sukan lain sudah lebih awal menggantung sebarang aktiviti mereka.

Liga A, yang terdiri dari 11 pasukan, dilangsungkan tanpa penonton hujung minggu lepas, dengan hanya lima baki lima perlawanan untuk menamatkan musim ini.

Tetapi dengan sekatan ketat kerajaan, termasuk penutupan sempadan negeri, yang menjadikan ia sukar untuk diteruskan.

“Keputusan dibuat kerana pertambahan syarat di peringkat negeri dan kebangsaan, terutama sekali kawalan sempadan negeri, dan New Zealand juga menguatkuasa langkah ketat mereka,” menurut presiden Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA), James Johnson.

“Kerana ia pertandingan di peringkat kebangsaan yang dilangsungkan hampir di seluruh negeri dan juga di New Zealand, usaha melengkapkan musim menjadi misi mustahil.”

FFA akan menyemak semula situasi dalam beberapa minggu akan datang dengan penilaian terbaharu status dijadualkan pada 22 April dan berharap dapat merangka semula jadual untuk baki perlawanan.

Dua pasukan Liga A, Wellington Phoenix dan Melbourne Victory, sudah mengenakan kuarantin wajib 14 hari ke atas pemainnya selepas bermain di New Zealand minggu lepas dan gagal kembali ke Australia sebelum peraturan kemasukan negara lebih ketat dikuatkuasakan.

“Ia amat mengecewakan kepada pemain, kelab dan peminat kerana kami menghampiri penamat musim,” tambah Johnson.

“Bagaimanapun, kesihatan dan keselamatan penyokong, pemain, sukarelawan dan kakitangan kami adalah sebab utama keputusan ini.”

Australia merekodkan lebih dari 1,800 kes COVID-19 dengan tujuh kematian.

Walaupun bola sepak dijangka akan terjejas teruk dengan penggantungan ini, Johnson menegaskan ia akan bertahan, berbeza dengan gambaran suram yang diramalkan untuk sukan ragbi.

“Sukan ini akan bertahan, itu  yang saya pasti,” kata Johnson. “Tetapi kita perlu melakukan perubahan, akan melihat perkara yang lebih berbeza dari sekarang.” — AFP