Anda di sini

Kakitangan Sabah Ports disahkan positif COVID-19

Advertisement
 Pelabuhan masih beroperasi seperti biasa.
PELABUHAN: Pelabuhan masih beroperasi seperti biasa.

TAWAU: Seorang kakitangan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) yang bertugas di Pelabuhan Tawau disahkan positif COVID-19 oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau baru-baru ini.

Menurut kenyataan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) kakitangannya itu sudah dikuarantin sejak 12 Mac lalu selepas memaklumkan mempunyai kontak rapat kluster kumpulan tabligh yang menghadiri ijtima' di Masjid Sri Petaling bulan lalu.

Semua kakitangan di Pelabuhan Tawau sudah dihantar untuk membuat ujian saringan manakala kawasan pentadbiran di Wisma Pelabuhan Tawau juga sudah dibersihkan menggunakan pembasmi kuman oleh pihak Pejabat Kesihatan Tawau.

Pihak SPSB akan memastikan kawasan pelabuhan Tawau selamat untuk digunakan disamping berkerjasama dengan pihak berkuasa dalam melindungi kesihatan serta keselamatan pekerja dan pelanggannya.

SPSB melaporkan kes positif COVID-19 ini hanya berlaku di pelabuhan Tawau sahaja manakala di tempat lain yang diurus oleh syarikat mereka tidak mengalami keadaan tersebut.

Sejajar dengan protokol yang disyorkan untuk membendung penyebaran COVID -19, semua kakitangannya dan mereka yang memasuki premis pelabuhan adalah tertakluk kepada mandatori pemeriksaan suhu.

SPSB juga menggalakkan pengguna untuk menggunakan kaedah dalam talian untuk membuat pembayaran dan telah membuat saluran yang berkesan iaitu e-penyerahan dokumen bagi menyokong transaksi tanpa sentuh.

Barisan hadapan termasuk Polis Pelantar Pelabuhan dan pekerja operasi, khususnya mereka yang terdedah kepada hubungan dengan pihak luar, dilengkapi dengan pelindung diri peralatan (PPE).

Operasi pelabuhan di semua lapan pelabuhan setakat ini tidak terjejas dan akan berterusan secara normal. SPSB juga memastikan bahawa peralihan operasi dijamin selain perkhidmatan sokongan yang dilaksanakan terus beroperasi.

Sehingga kini, tidak ada insiden gangguan atau kelembapan dalam perkhidmatan pengendalian kargo di kalangan pelabuhan SPSB.

Tinjaun Utusan Borneo di Pelabuhan Tawau mendapati tiada sebarang perubahan dan operasinya masih berjalan seperti biasa malah kelihatan lori-lori kontena aktif keluar masuk di pelabuhan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement