Anda di sini

Britain kuat kuasa perintah berkurung

Advertisement
 Penghuni di sebuah rumah di Liverpool, barat laut England, menonton                    televisyen ketika Johnson menyampaikan ucapan dari 10 Downing Street di London kelmarin untuk menggesa orang ramai duduk di rumah dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. — Gambar AFP
PESANAN PENTING: Penghuni di sebuah rumah di Liverpool, barat laut England, menonton televisyen ketika Johnson menyampaikan ucapan dari 10 Downing Street di London kelmarin untuk menggesa orang ramai duduk di rumah dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. — Gambar AFP

LONDON: Britain berkurung semalam, dan populasinya menyertai kira-kira 1.7 bilion manusia di seluruh dunia yang diarah duduk di rumah untuk membendung penularan Novel Koronavirus (COVID-19) yang “semakin cepat”.

Di Eropah, Asia, Amerika Utara, Timur Tengah dan beberapa bahagian Afrika, kerajaan memberitahu warga negara masing-masing untuk duduk di rumah sementara mereka bergelut dengan penyakit yang sudah meragut ribuan nyawa – dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan berkurangan.

Penutupan global terus menghasilkan cerita-cerita yang menakutkan; tentera di Sepanyol yang ditugaskan untuk memerangi wabak itu melaporkan mereka me-nemui warga emas yang ditinggalkan – ada yang sudah mati – di pusat-pusat persaraan.

Di jalan-jalan yang lengang di New York, seorang pakar psikologi yang keluar menyuarakan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang kepada kesihatan mental semua orang yang terjejas.

“Saya takut bagi diri saya dan pesakit bahawa ini boleh berterusan” selama berbulan-bulan, kata Lauren, yang enggan memberikan nama keluarganya.

Keresahan dan kemuru-ngan “bertambah buruk pada waktu seperti ini”, tambahnya.

Impak kewangan kepada ekonomi yang tidak bergerak terus membimbangkan pembuat dasar, yang membuka tabung kewangan dan membanjiri pasaran dengan wang tunai lagi – usaha terbaharu mereka untuk memastikan ekonomi terus bergerak.

Di Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan meng-umumkan satu program pembelian bon yang luar biasa, dalam satu langkah yang tidak pernah dilihat sejak krisis kewangan global lebih sedekad lalu.

Rizab Persekutuan, yang sudah pun mengurangkan kadar faedah ke tahap terendah, berkata ia akan membeli jumlah hutang Perbendaharaan yang tidak terhad selain mengambil langkah untuk memberi pinjaman secara langsung kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang teruk terjejas akibat penutupan di seluruh negara.

Pasaran Asia gembira de-ngan berita itu, dan Tokyo, Hong Kong dan Seoul me-nyaksikan peningkatan mendadak dalam sesi terbaharu di sana yang tidak menentu.

Peningkatan itu berlaku walaupun ahli-ahli politik AS gagal untuk menanda-tangani satu pakej bernilai AS$2 trilion (RM8 trilion) yang menurut Presiden Do-nald Trump bertujuan untuk membantu perusahaan yang menghadapi masalah dan memberi bantuan kewangan kepada keluarga Amerika.

Para penentangnya berkata rang undang-undang itu terlalu condong ke arah menyelamatkan perniagaan besar.

Kerajaan Britain, yang menghadapi tuduhan bahawa ia teragak-agak bertindak dalam krisis kesihatan itu dan membenarkan sekolah terus dibuka jauh lebih lama daripada negara lain di Eropah, mula menyelaraskan diri kelmarin.

Perdana Menteri Boris Johnson mengarahkan penutupan perkhidmatan dan kedai “yang tidak perlu” selama tiga minggu selain melarang perhimpunan melebihi dua orang.

“Duduk di rumah,” kata Johnson dalam satu ucapan televisyen, ketika beliau mengumumkan langkah zaman aman yang luar biasa selepas bilangan kematian kebangsaan melonjak kepada 335.

Pengumuman itu dibuat selepas orang ramai kelihatan menikmati sinaran matahari pada hujung minggu di taman dan desa, seterusnya mendorong seruan bagi tindakan yang lebih ketat.

Ketua Pertubuhan Ke-sihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa pandemik global jelas “semakin cepat”.

Jumlah kematian akibat COVID-19 sudah mencecah 16,500, dengan lebih 378,000 jangkitan yang diumumkan di 174 negara dan wilayah.

Tedros berkata ia memakan masa 67 hari dari permulaan wabak COVID-19 di China pada Disember lalu untuk menjangkiti 100,000 orang yang pertama di seluruh dunia.

Sebaliknya, ia memerlukan hanya 11 hari untuk 100,000 kes yang kedua, hanya empat hari bagi 100,000 yang ketiga, katanya.

Tedros mengakui banyak negara bergelut untuk meng-ambil langkah yang lebih agresif kerana kekurangan sumber tetapi berkata “kita bukan pemerhati yang tidak berdaya”.

“Kita dapat mengubah trajektori pandemik ini,” katanya.

Sinaran harapan kelihatan kelmarin dalam perangkaan dari Itali, pusat tumpuan utama COVID-19 di Eropah.

Jangkitan baharu di negara yang paling teruk terjejas di benua itu jatuh kepada hampir 5,000, turun daripada lebih 6,500 sehari sebelum itu.

Bilangan kematian hariannya turut menurun sedikit, walaupun pada keseluruhannya negara itu merekodkan lebih 6,000 kematian, jauh mengatasi perangkaan di China.

Di AS, bandar raya New York yang terjejas teruk telah berkurung, dengan keadaan yang biasanya sesak kini hanya menyaksikan pakar farmasi, pekerja kedai runcit dan kakitangan perubatan sahaja di jalanan.

Namun Trump – yang bertanding dalam pemilihan semula pada November dan ingin sekali mengelak kerosakan yang berpanjangan kepada ekonomi di AS – memberitahu pemberita bahawa beliau tidak lama lagi akan “membuka ne-gara kita kepada perniagaan kerana negara kita sepatutnya dibuka”. — AFP

Sementara Syria yang mengalami peperangan mengumumkan kes COVID-19 pertamanya, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres merayu gencatan senjata di seluruh dunia untuk melindungi golongan yang lemah dalam zon konflik.

“Kemarahan virus ini menggambarkan kebodohan peperangan,” katanya.

Dengan acara-acara kebudayaan dan sukan penting yang sudah dipadamkan daripada kalendar, seruan semakin meningkat untuk menangguhkan temasya Sukan Olimpik Tokyo, Perdana Menteri Jepun mengakui kelmarin bahawa penangguhan “tidak dapat dielakkan”. — AFP