Anda di sini

1MINE minta kerajaan peruntuk RM2 bilion bantu PKS baharu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia (1MINE) berharap kerajaan akan mempertimbang peruntukan bantuan khas berjumlah RM2 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang baharu memulakan operasi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Presidennya, Datuk S.Gopinath berkata insentif khas itu sememangnya diperlukan oleh kalangan perniagaan mikro seperti PKS yang baharu didaftarkan untuk terus mengekalkan operasi dalam keadaan penularan COVID-19 tersebut.

Beliau berkata, sebagai permulaan, Kementerian Kewangan boleh memperkenalkan bantuan pinjaman, insentif khas atau pengecualian kepada PKS baharu itu manakala institusi kewangan pula boleh membantu dengan mengubah pinjaman perniagaan ke dalam bentuk geran.

“Saya berharap insentif khas untuk memacu perniagaan mikro di negara ini turut dimasukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi komprehensif dan Bantuan Rakyat yang akan diumumkan oleh kerajaan pada 30 Mac depan.

“Ini amat diperlukan memandangkan PKS merupakan nadi ekonomi negara dan menyumbang lebih 98 peratus daripada perniagaan yang ada di negara ini.

“Mereka (PKS) akan berdepan kerugian besar dan perlukan bantuan untuk terus beroperasi... usaha menyelamatkan mereka turut menjadi langkah penting bagi menyelamatkan ekonomi negara,” katanya kepada Bernama.

Gopinath berkata insentif lain yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan termasuk memperuntukkan sebidang tanah untuk PKS di kawasan yang memiliki kelebihan geografi bagi tujuan dagangan selain menarik balik sekatan penggunaan tenaga kerja asing dalam sektor PKS tersebut.

“Beratus-ratus restoran India terjejas akibat kekurangan pekerja asing dan sudah tiba masanya untuk kerajaan menarik balik pembekuan larangan pekerja asing itu,” katanya. — Bernama

Advertisement