Anda di sini

Trump arah sediakan ribuan katil hospital kecemasan di kawasan jangkitan COVID-19

Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarahkan agar ribuan katil hospital kecemasan disediakan di kawasan jangkitan COVID-19 utama di Amerika tetapi pakej menyelamat ekonomi bernilai satu trilion dolar tidak diluluskan, manakala kematian pandemik melonjak di seluruh dunia.

Bilangan kematian akibat virus itu telah melonjak kepada lebih 14,400, menurut satu kiraan AFP, dengan pusat tumpuan utama di Eropah tetapi situasi juga semakin buruk dari pulau-pulau Pasifik hingga kepada Afrika dan AS.

“Kita sedang berperang, dalam maknanya yang sebenar, kita sedang berperang,” kata Trump pada Ahad ketika beliau mengarahkan agar stesen perubatan kecemasan dengan 4,000 katil dihantar ke California dan kawasan lain yang paling teruk terjejas.

Lebih satu pertiga warga Amerika berada di bawah pelbagai bentuk sekatan, termasuk di New York, Chicago dan Los Angeles, tetapi jumlah jangkitan di AS terus meningkat.

Datuk bandar New York, yang mengetengahkan keadaan terdesak di dalam ekonomi terbesar di dunia, berkata bandar rayanya dijangka akan kehabisan alat penafasan dalam masa 10 hari lagi.

Satu usul Senat bernilai satu trilion dolar untuk menghidupkan semula ekonomi AS gagal pada Ahad selepas ia tidak menerima sebarang sokongan daripada ahli-ahli Demokrat, seterusnya menimbulkan keresahan di kalangan pelabur yang sedang melihat pasaran saham jatuh di seluruh dunia.

Pasaran di Asia bermula semalam dengan mencatatkan kerugian apabila ia menyerap usaha rangsangan AS yang gagal dan siri berita buruk lain dari seluruh dunia pada hujung minggu lepas.

“Ini adalah kejutan ekonomi terbesar yang pernah dihadapi negara kita sejak sekian lama,” kata Perdana Menteri Australia Scott Morrison ketika beliau memberi amaran bahawa pandemik itu boleh mencetuskan krisis yang sama seperti Kemelesetan Besar pada zaman 1930an.

Di Eropah, Greece melaksanakan arahan berkurung di seluruh negara dan Jerman melarang perhimpunan melebihi dua orang.

Canselor Jerman Angela Merkel menguarantin diri di rumah selepas dirawat oleh seorang doktor yang sejak itu diuji positif bagi virus berkenaan.

Bilangan di Itali yang paling teruk terjejas akibat pandemik itu menghampiri 5,500 dengan 651 kematian lagi dilaporkan pada Ahad, sehari selepas ia mengatasi China dengan jumlah kematian tertinggi.

Polis meronda di jalan-jalan yang lengang di Rom, manakala pemeriksaan dijalankan di pantai Itali selepas pegawai tempatan mengadu tentang orang yang mengingkari arahan pengasingan dengan meluangkan masa di bawah sinaran matahari.

Dalam doa minggu beliau, yang distrim dalam talian untuk mengelak daripada menarik perhimpunan, Pope Francis menggesa semua warga Itali untuk mengikuti langkah pengasingan ‘demi kebaikan semua kita’.

Perdana Menteri Sepanyol berkata beliau akan meminta parlimen untuk melanjutkan keadaan darurat selama 15 hari, yang melarang orang daripada meninggalkan rumah kecualilah amat perlu, sehingga 11 April.

Negara itu merekodkan hampir 400 kematian baharu pada Ahad, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 1,720, yang membayangkan arahan berkurung gagal meninggalkan kesan.

Bintang opera Placido Domingo berkata beliau telah diuji positif.

Penduduk di Perancis, di mana bilangan kematian melonjak kepada 562, terus berkurung di dalam rumah mereka.

Perintah berkurung dikuatkuasakan di beberapa wilayah dan datuk bandar Paris menuntut langkah pengurungan yang jauh lebih drastik di sebuah bandar raya yang diarah berkurung.

Britain menimbang langkah sama manakala Perdana Menteri Boris Johnson memberi amaran bahawa negara itu akan mencatatkan angka yang sama dengan Itali dalam masa beberapa minggu lagi.

Virus berkenaan muncul di China pada hujung tahun lepas, selepas mula-mula dikesan di sebuah pasar yang menjual haiwan liar untuk kegunaan manusia di bandar raya tengah Wuhan.

Sejak itu China cuba menyemai keraguan mengenai sama ada virus itu bermula di Wuhan ataupun, dan pada waktu yang sama menggambarkan diri sebagai penyelamat dalam perjuangan global itu dan contoh bagi kuarantin.

China semalam melaporkan tiada kes tempatan baharu bagi virus itu, tetapi mengesahkan 39 jangkitan lagi dari seberang laut.

Bagaimanapun para pemimpin komunis di Beijing turut dikritik di dalam dan luar negara ditanggapi tidak telus, khususnya ketika wabak bermula.

Trump adalah antara pengkritik tersebut dan menimbulkan kemarahan China apabila beliau melabel virus terbabit sebagai ‘virus China’.

Pada Ahad beliau sekali lagi merungut tentang kekurangan maklumat dan ketelusan dari Beijing.

“Mereka sepatutnya memberitahu kita tentang perkara ini,” kata Trump. “Saya sedikit marah dengan China. Saya akan jujur dengan anda.”

Thailand melaporkan peningkatan kes harian tertinggi pada Ahad, untuk membawa jumlah keseluruhan kes kepada hampir 600.

Singapura, Hong Kong dan Malaysia turut melaporkan peningkatan selepas jumlah kes mendatar sebelum ini, yang mendorong peningkatan dalam usaha kuarantin dan sekatan perjalanan.

New Zealand belum lagi terjejas teruk tetapi semalam Perdana Menteri Jacinda Ardern mengumumkan arahan berkurung selama empat minggu untuk mencegah krisis ala Eropah.

“Senario kes terburuk sama sekali tidak dapat diterima,” kata Ardern.

“Ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa di New Zealand yang paling buruk dalam sejarah kita dan saya tidak mahu mengambil risiko itu.”

Isyarat paling kuat muncul semalam bahawa Olimpik Tokyo, yang dijadualkan bermula pada Julai, akan ditunda.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata menunda temasya sukan itu mungkin ‘tidak dapat dielakkan’, manakala jawatankuasa Olimpik Kanada berkata ia tidak akan menghantar atlet jika ia diadakan pada musim panas ini.

Jawatankuasa Olimpik Australia memberitahu atlet untuk bersiap sedia bagi Olimpik musim panas di hemisfera utara pada 2021.

“Ia adalah jelas bahawa temasya Sukan itu tidak boleh diadakan pada Julai,” kata ‘chef de mission’ Australia, Ian Chesterman. — AFP

Advertisement