Anda di sini

Supermax sumbang 1 juta sarung tangan perubatan kepada industri penjagaan kesihatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Supermax Corporation Bhd (Supermax) menyumbangkan satu juta pasang sarung tangan Nitril bebas serbuk kepada kerajaan Malaysia, hospital, balai polis dan responder pertama industri penjagaan kesihatan untuk mengurangkan penularan COVID-19.

Syarikat itu dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyelaraskan urusan logistik dan pengedaran sarung tangan supaya dapat diberikan kepada responder pertama secepat yang mungkin.

Pengasas Supermax Datuk Seri Stanley Thai turut menzahirkan penghargaan kepada barisan hadapan dan mahu memastikan kumpulan ini dilindungi selain mengurangkan risiko jangkitan virus itu kepada mereka dan keluarga.

“Sarung tangan perubatan sepatutnya digunakan sekali sahaja dan tidak boleh disanitasi atau digunakan semula untuk mengelak risiko jangkitan dan kami juga menggalakkan pihak lain untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan dengan menyertai program penajaan.

“Mereka boleh membuat sumbangan minimum sebanyak RM150 untuk satu karton sarung tangan perubatan dan menyelamatkan nyawa dengan menyumbang RM0.15 bagi setiap sarung tangan untuk kegunaan barisan hadapan,” katanya dan menurutnya semua sumbangan yang diterima akan digunakan untuk membekalkan lebih banyak sarung tangan perubatan kepada barisan hadapan.

Inisiatif ini merupakan tambahan kepada satu juta pasang sarung tangan yang telah disumbangkan oleh Supermax dan diedarkan kepada petugas barisan hadapan menerusi NADMA, kata beliau.

Sebelum ini, Supermax menyumbangkan tiga juta pasang sarung tangan ke Wuhan selain membantu penaja lain untuk menyerahkan 8.9 juta sarung tangan ke China ketika kemuncak penularan pandemik itu di negara terbabit.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ‘MalaysiaBebasCovid19’ menerusi  [email protected] atau memberi sumbangan kepada Supermax Foundation, OCBC Bank (M) Bhd, 701 146 4493 Kod Swift: OCBCMYKL — Bernama