Anda di sini

Shitembi 'Lipas Kudung' teruja teruskan aksi

Advertisement
 Aksi Shitembi (kiri) semasa membantu Tambadau Sabah menang 3-1 ke atas Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada 7 Mac lalu. Kesemua jaringan Sabah itu hasil hantaran Shitembi.
LIPAS KUDUNG: Aksi Shitembi (kiri) semasa membantu Tambadau Sabah menang 3-1 ke atas Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada 7 Mac lalu. Kesemua jaringan Sabah itu hasil hantaran Shitembi.

KOTA KINABALU: Empat aksi dalam Liga Malaysia adalah pengalaman baru buat Petrus Shitembi, si `Lipas Kudung' Tambadau Sabah.

Ia adalah kali pertama pemain tengah kebangsaan Namibia itu beraksi di luar Afrika dan selepas bermain  semua empat perlawanan bersama Tambadau Sabah dalam saingan Liga Super setakat ini, pemain berusia 27 itu begitu teruja meneruskan aksinya.

"Selepas sekian lama hanya beraksi di Afrika, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya mencuba sesuatu yang baru dan berbeza. Jadi, apabila peluang itu datang kepada saya, saya tidak berfikir dua kali untuk menyertai pasukan ini (Tambadau Sabah).

"Ini adalah kali pertama saya bermain di luar Afrika. Ia sangat menakjubkan setakat ini, saya sangat menyukainya dan gembira telah membuat keputusan menyertai pasukan ini," kata Shitembi ketika dihubungi di sini.

 

Menurutnya, saingan Liga Super juga sangat baik dan sangat kompetitif tetapi ia hanya menjadikannya lebih baik.

Shitembi berterima kasih kepada persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) terutama presidennya Datuk Peter Anthony kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada anggota skuad Tambadau Sabah musim ini.

"Saya menyedari bahawa ini adalah cabaran baru dalam hidup saya. Saya sangat teruja untuk membantu pasukan semampu saya dengan harapan kita dapat tamatkan saingan Liga Super di kedudukan yang dihormati..begitu juga dalam saingan lain," katanya.

Mengenai pasukan Sabah, Shitembi berkata, beliau bukan sahaja bersama pasukan yang hebat tetapi mendapat layanan baik dari semua anggota pasukan termasuk rakan sepasukan, pegawai, pengurusan dan juga penyokong Tambadau Sabah.

Katanya, ia membantunya menyesuaikan diri dengan lebih mudah. "Pasukan juga dalam ramuan terbaik menerusi gabungan pemain muda dan berpengalaman," tambahnya.

"Sesungguhnya, negeri ini diwarnai dengan keindahan alam dan masyarakat penyayang. Ia sempurna buat saya. Saya tidak sabar untuk meneruskan aksi membantu Tambadau Sabah memburu kejayaan musim ini," katanya.

Hanya kira-kira tiga minggu bersama pasukan dalam persiapan, Shitembi kelihatan tiada masalah malahan menjadi penggerak utama pasukan dengan aksi seperti `Lipas Kudung'. Beliau sentiasa sibuk, bergerak dengan pantas dan licik membantu semua posisi.

Selain Shitembi, Tambadau Sabah juga diperkuatkan emat lagi import iaitu Rodoljub Paunovic (penyerang), Kassy Guy Gnaboutou (penyerang), Dennis Buchening (penyerang tengah) dan Park Tae Su (pertahanan).

Sabah kini menduduki tangga keempat di kalangan 12 pasukan dalam carta Liga Super selepas mengumpul lima mata dari empat perlawanan dengan rekod satu menang, dua seri dan satu kalah.

Tiga pasukan teratas didahului juara bertahan liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 10 mata diikuti Perak (lapan mata) dan Pahang (enam mata).

Selangor dan FELDA juga telah mengumpul lima mata tetapi berada di bawah Sabah berdasarkan perbezaan jaringan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah memutuskan untuk menangguhkan kesemua perlawanan saingan Liga Malaysia 2020 berkuatkuasa 16 Mac lalu sehingga ke tarikh baru yang akan diumumkan kelak.

Penagguhan itu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak COVID-19 seperti yang diumumkan Kerajaan Malaysia pada 16 Mac 2020.

Kedudukan
P M S K J B PG MT
1. JDT 4 3 1 0 5 2 3 10
2. Perak 4 2 2 0 8 4 4 8
3. Pahang 4 2 0 5 6 5 1 6
4. Sabah 4 1 2 1 5 5 0 5
5. Selangor 4 1 2 1 6 7 -1 5
6. FELDA 4 1 2 1 6 7 -1 5
7. Kedah 4 1 1 2 6 6 0 4
8. Terengganu 3 1 1 1 8 9 -1 4
9. UiTM 4 1 1 2 5 6 -1 4
10. PJ City FC 3 1 1 1 4 5 -1 4
11. Melaka Utd 4 2 0 5 7 5 2 3
12. PDRM 4 0 1 3 2 7 -5 -2

  • oleh
  • Advertisement