Anda di sini

Pemandu lori yang pertama ditangkap di bawah Perintah Kawalan Pergerakan di Sarawak

Advertisement
Sekatan jalan raya di Jalan Kuching-Samarahan Expressway, Kota Samarahan, hari ini.

KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak merekodkan tangkapan pertama di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan seorang pemandu lori pada Sabtu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata suspek ditangkap selepas dikatakan bertindak agresif ketika diperiksa oleh pasukan keselamatan di Jalan Tun Abdul Rahman Yakup.

Suspek yang tidak didedahkan identiti, menurutnya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Suspek ditahan dan diberikan nasihat supaya dia pulang ke rumah, tetapi dia berdegil dan bertindak agresif terhadap anggota polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya juga, suspek kemudian ditahan untuk tindakan selanjutnya dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Aidi selain itu menegaskan operasi bermula pada jam 7 petang hari ini akan diperketatkan lagi dan akan menangkap orang awam yang masih ingkar PKP.

"Mulai petang ini, semua kedai dan perkhidmatan diarah tutup jam 7 petang dan hanya mereka yang mempunyai dokumen kebenaran bekerja sahaja dibenarkan. Selain dari itu, jika ada yang keluar tanpa sebab akan ditahan dan boleh ditangkap," jelasnya.

Sementara itu Aidi turut memberitahu sebanyak 139 sekatan jalan raya dibuat di seluruh negeri setakat hari ini dalam usaha mengekang penularan virus COVID-19.

"Bagaimanapun kita akan memperluaskan lagi jumlahnya di beberapa lokasi sekiranya keadaan memerlukan," katanya.

Ketua sekatan jalan raya di Jalan Kuching-Samarahan Expressway Sarjan Hassan Amilul berkata sebanyak 926 buah kenderaan dari pusat bandar raya diperiksa dari jam 8 pagi hingga 4 petang hari ini.

"Jumlah kenderaan berkurangan berbanding semalam dan kebanyakan yang diperiksa memberi alasan keluar bekerja dan ada yang perlu menghantar ahli keluarga ke klinik atau hospital," katanya.

  • oleh
  • Advertisement