Anda di sini

National Sawdust bantu pemuzik baharu yang terjejas

Advertisement
 Gambar yang diambil pada 18 Mac 2020 ini menunjukkan Paola Prestini bergambar di luar Live Music Venue ‘National Sawdust’ di  New York. Pemuzik yang berpangkalan di New York itu turut sama mengasas institusi kesenian yang popular National Sawdust. Koronavirus telah menjedakan puluhan konsert selepas tempat muzik jatuh umpama domino, termasuk Carnegie Hall dan Metropolitan Opera di New York.  — Gambar AFP
PENGASAS BERSAMA: Gambar yang diambil pada 18 Mac 2020 ini menunjukkan Paola Prestini bergambar di luar Live Music Venue ‘National Sawdust’ di New York. Pemuzik yang berpangkalan di New York itu turut sama mengasas institusi kesenian yang popular National Sawdust. Koronavirus telah menjedakan puluhan konsert selepas tempat muzik jatuh umpama domino, termasuk Carnegie Hall dan Metropolitan Opera di New York. — Gambar AFP

SELEPAS bekerja selama empat tahun, hanya tinggal seminggu sahaja lagi untuk komposer Paola Prestini mengadakan operanya yang ditauliahkan buat pertama sekali bersama sebuah syarikat di negeri Minnesota, Amerika Syarikat (AS), sebelum koronavirus tiba-tiba menghentikan persembahan di seluruh dunia.

Pandemik global itu telah menutup muzik secara langsung di semua tempat dari dewan berprestij hingga venue indie, Broadway hingga festival, dan meninggalkan artis di AS seperti Prestini dengan laluan ke depan yang tidak jelas di sebuah negara dengan jaringan keselamatan minimum untuk sesiapa sahaja, apatah lagi golongan kreatif.

Pemuzik yang berpangkalan di New York itu, yang turut sama mengasas institusi kesenian yang popular National Sawdust di Brooklyn, berkata dimaklumkan bahawa penerbitan operanya ‘Edward Tulane’ telah ditunda sehingga 2021 adalah saat “jantung anda terhenti”.

“Sebagai seorang komposer muzik baharu dan seorang wanita, ia umpama peluang ini yang kita sudah perjuangkan selama bertahun-tahun untuk perolehi, dan bekerja keras untuk sampai ke tahap ini, ia menyayat hati,” katanya kepada AFP.

“Kesan riak dari perkara ini akan memberi impak yang amat besar sekali ke atas industri ini secara umum,” kata Prestini mengenai virus itu yang sudah menamatkan kehidupan awam di banyak negara dan menjangkiti sekurang-kurangnya 209,500 orang di seluruh dunia, menyebabkan lebih 8,700 kematian.

Koronavirus menjedakan puluhan konsert selepas tempat muzik jatuh umpama domino, termasuk Carnegie Hall dan Metropolitan Opera di New York, di mana suami Prestini, seorang pemain selo, turut kehilangan satu pertunjukan.

Corak sama kelihatan di tempat lain, apabila negara-negara termasuk Perancis, Itali dan Sepanyol melaksanakan arahan berkurung yang ketat.

Institusi di seluruh dunia menggalakkan pemegang tiket untuk tidak meminta bayaran balik, atau menggunakannya untuk memberi derma atau membeli sijil hadiah.

“Saya rasa setiap syarikat sedang berusaha sedaya upaya untuk menghormati artis dan membayar mereka,” kata artis berusia 44 tahun itu, yang dilahirkan di Itali dan dibesarkan di AS.

“Tetapi apa yang kita lihat adalah ekosistem amat rapuh ini yang sedang terdedah,” katanya.

“Ia adalah jenis waktu yang mendorong kita untuk berlutut.”

- ‘SISTEM TIDAK REALISTIK’ -

Memastikan institusi kesenian terus terapung, terutamanya institusi kecil yang selalunya tidak ada sokongan penderma kaya yang menjadi tempat bergantung bagi tonggak lebih kuat, adalah sukar dalam mana-mana persekitaran, dan krisis semasa telah mendedahkan situasi yang sudah pun berbahaya, kata Prestini.

“Tulang belakang bagi artis umumnya adalah sangat sedikit sekali. Ia adalah sistem yang sama sekali tidak realistik untuk mencipta sesuatu, saya tidak akan berbohong,” kata Prestini.

Pada Rabu lepas, Menteri Kebudayaan Perancis Franck Riester mengumumkan “bantuan kecemasan” awal sebanyak 22 juta euro untuk menyokong muzik, hiburan, penerbitan dan seni visual.

Tidak begitu di AS, di mana kebanyakan pekerja di negara itu termasuk artis bergantung kepada pekerjaan ‘ekonomi gig’ untuk menyara diri, dan di mana cuti sakit dengan gaji adalah satu kemewahan.

Di tengah-tengah arahan berkurung, vokalis Emily Cochrane meninggalkan New York untuk pulang ke bandar raya asalnya Chicago dan tinggal bersama keluarganya – dan menilai semula bagaimana untuk meneruskan karier muzik sementara virus berkenaan menular.

“Saya mahu sentiasa optimis,” katanya kepada AFP. “Tetapi saya masih perlu membayar sewa saya sebelum saya pergi. Ia seperti, ini adalah semua wang yang saya ada pada nama saya sekarang.”

“Jaring keselamatan sebenarnya tidak ada apabila anda menyara hidup dengan membuat muzik,” kata penyanyi berusia 36 tahun itu.

“Ia adalah mengenai apa yang kita hargai sebagai sebuah masyarakat – kita menghargai muzik tetapi kita tidak mahu membayar untuknya; kita menghargai kesenian tetapi kita mahukannya secara percuma.”

- KECEKALAN -

Pada minggu lepas MusiCares, cabang kebajikan bagi Recording Academy, badan di sebalik Anugerah Grammy, melancarkan tabung bantuan koronavirus bernilai AS$2 juta untuk pekerja industri muzik.

Golongan profesional muzik yang layak, mereka yang sudah bekerja sekurang-kurangnya selama lima tahun dalam industri muzik, atau enam video atau rakaman yang dikeluarkan secara komersial, boleh memohon untuk dana, dan menunjukkan bukti bagi pembatalan konsert disebabkan oleh koronavirus.

Ia adalah satu permulaan, tetapi artis seperti Prestini tertanya-tanya di mana sokongan kerajaan dalam “landskap yang tidak pasti” ini.

Untuk mengekalkan komunitinya, National Sawdust ingin memulakan sebuah platform digital, mula-mula menyediakan kandungan arkib secara percuma dan apabila kekangan kesihatan awam mengizinkannya, membenarkan artis strim pertunjukan secara langsung, dapat ditonton untuk bayaran, untuk meneruskan momentum.

“Apabila keadaan lebih sihat, saya rasa orang pasti mahu bertemu, orang pasti mahu berhimpun,” kata Prestini.

“Itulah sebabnya kota-kota dibuat, orang datang bersama dan bertembung dengan idea-idea baharu.”

Dia dan Cochrane berkata walaupun keadaan huru-hara sekarang, lingkungan mereka sudah menjadi suar sokongan.

Cochrane berkata seseorang yang tidak dikenalinya dan mendengarnya dalam Spotify menjumpai handelnya Venmo dan menghantar wang kepadanya menerusi aplikasi bayaran itu, manakala seorang rakan berikrar untuk mengadakan konsert di rumah untuknya pasca pandemik dan menghantar AS$500 kepadanya.

“Saya berpendapat orang lebih daripada selama ini mahu mencari jalan untuk membantu komuniti mereka,” katanya.

“Pada sisi saya yang lebih menaruh harapan, artis benar-benar bagus dari segi kecekalan.

“Saya rasa ia adalah sebahagian daripada kerja ini.” — AFP

Advertisement