Anda di sini

MASwings tangguhkan operasi penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Perintah Kawalan Pergerakan

Advertisement
 


 
KUCHING: Berikutan sekatan perjalanan berterusan yang dikenakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan Malaysia, penerbangan MASwings ATR72-500 dan DHC6 Vikings akan dikurangkan kekerapan dan ditangguhkan sementara berkuat kuasa esok, 25 Mac hingga 31 Mac 2020.


Pegawai Jabatan Komunikasi MASWings yang berpangkalan di Kota Kinabalu Rozanah Robert dalam satu kenyataan media hari ini berkata, keputusan dibuat adalah berdasarkan kepada faktor tempahan penerbangan yang sangat rendah.

Jelas beliau, permintaan pelanggan merosot berikutan mereka duduk di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. 

“Orang awam tidak keluar kerana patuh akan Perintah Kawalan Pergerakan, ditambah pula dengan dasar larangan perjalanan antara Sabah dan Sarawak yang dikenakan ke atas pelancong luar dan pelancong tempatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, MASwings akan menangguhkan penerbangannya dari Kota Kinabalu ke Mulu, Limbang, Lawas dan Kudat serta dari Kuching ke Mulu dan dari Tawau ke Tarakan, Indonesia.

“Penerbangan dari Miri ke Bintulu dan dari Kudat ke Sandakan juga akan ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.

Tambah beliau, MASwings beroperasi sepenuhnya di bawah Tanggungjawab Perkhidmatan Sosial (PSO) sejak 18 hingga 20 Mac, dan hanya mengurangkan operasinya sebanyak 16 peratus, setakat 21 Mac.

“Ia dibuat untuk menampung keperluan penduduk tempatan dan pelancong lain yang mempunyai keperluan untuk pulang dan hanya 12 peratus daripada kapasiti tempat duduk yang ditawarkan digunakan,” katanya lagi.

Bagaimanapun menurutnya, MASwings komited untuk terus menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kekerapan yang dikurangkan dan dengan menawarkan sambungan penerbangan alternatif jika perlu.

“Dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, semua pejabat tiket MASwings di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan beroperasi dari 8 pagi hingga 2 petang setiap hari sehingga 31 Mac 2020,” katanya.

Untuk maklumat terkini dan bantuan mengenai penangguhan perjalanan atau pertanyaan lain, sila hubungi talian bebas tol MASwings di 1-300-88-3000 dan +60-7843-3000 (untuk luar Malaysia) atau lawati laman web rasmi MASwings di www.maswings.com.my / www.malaysiaairlines.com.

Jadual MASwings mengurangkan kekerapan penerbangan.
Jadual penerbangan MASwings yang ditangguhkan sementara.
Advertisement