Anda di sini

Klinik Penyakit Pernafasan di Stadium Tertutup dibuka bermula hari ini

Advertisement
Uggah, Dr Sim, Abdullah dan Dr Chin ketika berkunjung ke Klinik Penyakit Pernafasan di Stadium Tertutup Kuching, hari ini.
Uggah, Dr Sim, Abdullah dan Dr Chin ketika berkunjung ke Klinik Penyakit Pernafasan di Stadium Tertutup Kuching, hari ini.

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) membuka Klinik Penyakit Pernafasan (Respiratory Clinic) di Stadium Tertutup bermula hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata klinik berkenaan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan percuma kepada mereka yang mengalami batuk, selsema dan demam serta masalah pernafasan lain.

"Ia berbeza dengan pemeriksaan penyakit COVID-19 yang dilaksanakan di Kompleks Belia dan Sukan. Ini adalah untuk memisahkan kes-kes serta mencegah jangkitan daripada merebak," katanya ketika ditemui ketika berkunjung ke klinik berkenaan.

Beliau mengingatkan orang ramai agar mengamalkan penjarakan sosial semasa datang untuk mendapatkan pemeriksaan.

Sementara itu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata tujuan utama klinik pernafasan itu adalah untuk melindungi ramai orang termasuk barisan hadapan daripada mendapat jangkitan COVID-19.

"Mereka yang batuk, demam dan sesak nafas boleh datang ke sini dan bukannya pergi kepada doktor umum. Di Sarawak terdapat lebih daripada 200 doktor umum dan sukar bagi kita memberikan perlindungan mencukupi kepada semua mereka.

"Doktor umum boleh memberi tumpuan kepada mereka yang tidak batuk, tidak demam dan tidak mengalami sesak nafas. Kami memerlukan mereka untuk menumpukan perhatian serta menangani aspek lain dari perkhidmatan perubatan," katanya.

Klinik berkenaan dibuka kepada penduduk di sekitar Kuching yang mempunyai masalah batuk, selsema dan demam.

Klinik bertempat di halaman luar Stadium Perpaduan itu dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat) dan tutup pada Sabtu, Ahad dan cuti.

Turut serta dalam kunjungan itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing.

  • oleh
  • Advertisement