Anda di sini

COVID-19 cetus rusuhan di penjara Colombia, 23 maut

Advertisement
 Seorang lelaki menunggang basikal di lebuh raya Cali yang kosong berikutan sekatan di Colombia, kelmarin bagi membendung COVID-19. — Gambar AFP
LENGANG: Seorang lelaki menunggang basikal di lebuh raya Cali yang kosong berikutan sekatan di Colombia, kelmarin bagi membendung COVID-19. — Gambar AFP

MONTEVIDEO: Panik berhubung penularan COVID-19 mencetuskan rusuhan penjara di Colombia yang mengorbankan 23 banduan pada Ahad, manakala Chile menjadi negara terbaharu di Amerika Latin untuk mengumumkan sekatan ke atas pergerakan.

Rusuhan berlaku dalam penjara yang sesak pada waktu malam di Bogota, ibu negara Colombia, ketika ketegangan semakin meningkat berhubung virus tersebut dalam sistem penjara.

Menteri Keadilan Margarita Cabello menggambarkan keganasan itu sebagai satu cubaan meloloskan diri beramai-ramai dari penjara, sebahagian daripada apa yang menurutnya adalah rancangan bersepadu dengan banduan yang menimbulkan kekacauan dalam 13 buah penjara di seluruh negara.

Menteri itu menolak tuduhan oleh kumpulan hak asasi manusia bahawa rusuhan itu dicetuskan keadaan tidak bersih di dalam sistem penjara yang sama sekali tidak bersiap sedia untuk menghadapi pandemik.

Perintah berkurung di Chile “akan berkuat kuasa di seluruh wilayah negara dari jam 10.00 malam hingga 5.00 pagi keesokan hari”, Menteri Kesihatan Jaime Manalich mengumumkan pada Ahad.

Negara itu, yang mempunyai 632 jangkitan, mencatatkan kematian pertamanya daripada pandemik itu pada hujung minggu lepas.

Ecuador, yang melaksanakan perintah berkurung pada Selasa lalu, menandakan peningkatan harian tertinggi dalam jumlah kematian dan kes baharu pada Ahad, dengan 14 kematian dan 789 jangkitan.

Jumlah kematian meningkat daripada tujuh pada Sabtu lepas jam 2200 GMT kepada 14 pada Ahad jam 1500 GMT, manakala jumlah jangkitan melonjak daripada 532 kepada 789, menurut Jabatan Pengurusan Kecemasan dan Risiko Kebangsaan di negara itu.   

Ecuador mempunyai jumlah kematian kedua terbesar di rantaunya selepas 18 kematian di Brazil.

Berita  itu diterima ketika kerajaan di rantau itu mempertingkatkan usaha untuk cuba mengekang penularan pandemik, yang sudah meragut 13,500 nyawa di seluruh dunia.

Argentina, Bolivia, El Salvador dan Paraguay adalah antara jumlah negara yang semakin banyak melaksanakan pengurungan populasi mereka sepenuhnya.

Colombia akan menyertai kumpulan tersebut bermula tengah malam Selasa dengan pengurungan mandatori selama 19 hari ke atas 48 juta penduduknya.

Kerajaan Bolivia mengkritik sebahagian daripada populasi kerana tidak mempedulikan arahan berkurung pada Ahad.

“Kita tidak akan melakukan ini dengan pengurungan 98 peratus. Kita hanya akan menewaskan COVID-19 dengan komitmen 100 peratus,” kata Menteri Pertahanan Luis Fernando Lopez.

Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada Ahad mengumumkan negaranya akan membayar gaji pekerja di syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang terjejas akibat dikuarantin.

Pemimpin sosialis itu berkata langkah itu akan bermula ‘pada bulan Mac’ tetapi tidak menyebut secara khusus dari mana datangnya dana untuk rancangannya.

Tidak seperti pemimpin serantau lain, Presiden Brazil Jair Bolsonaro tidak memandang krisis itu dengan serius, walaupun pandemik itu sudah mengorbankan 25 orang di negaranya, dengan 1,546 kes sah.

Gabenor negeri telah mengambil tindakan sendiri, termasuk Gabenor Sao Paulo, Joao Doria, yang mengarahkan kuarantin selama 15 hari yang memerlukan ‘penutupan sepenuhnya perniagaan dan perkhidmatan yang tidak diperlukan’, serta gabenor Rio yang menutup pantai ikonik di bandar raya tersebut.

Pada Ahad, Bank Pembangunan Brazil (BNDES) mengumumkan ia akan menyuntik 55 bilion real (RM44 bilion) ke dalam ekonomi untuk menangani impak daripada COVID-19.

Dana itu akan digunakan untuk melindungi lebih dua juta pekerjaan dan membiayai penggantungan bayaran faedah serta pinjaman langsung dan tidak langsung syarikat Brazil dengan ENDES selama enam bulan, selain untuk meningkatkan bekalan kredit bagi perniagaan kecil dan sederhana.

Brazil bersetuju pada Ahad dengan Uruguay untuk menutup sempadan darat mereka selama 30 hari, untuk mencegah penularan virus berkenaan.

Hanya penduduk atau warga negara Brazil sahaja, selain warga Uruguay dengan suami, isteri atau anak-anak Brazil, boleh masuk dari negara jiran itu.  

Pengangkutan kargo terus dibenarkan untuk merentasi sempadan.

Kelab bola sepak terkemuka di Brazil menyerahkan stadium-stadium mereka untuk membolehkan pihak berkuasa kesihatan menggunakannya sebagai klinik dan hospital lapangan untuk memerangi pandemik itu.

Pihak berkuasa Kota Mexico pada Ahad mengarahkan penutupan bar dan kelab selepas dikritik kerana tidak mengambil langkah yang lebih tegas lebih awal.

Datuk Bandar Claudia Sheinbaum berkata muzium, pawagam, teater, gim, bar dan kelab malam akan ditutup ‘bermula esok’.

“Setiap hari kita boleh mengambil langkah baharu. Langkah ini perlu mengurangkan kontak,” kata datuk bandar itu, yang menyeru kepada populasi untuk duduk di rumah dan menjauhkan diri daripada orang lain.

Bagaimanapun restoran tidak tertakluk kepada arahan itu. — AFP