Anda di sini

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii sembuh COVID-19 dan dibenarkan pulang

Advertisement
 

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii (gambar) yang disahkan positif COVID-19 pada 16 Mac lalu, sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah pada Isnin.

Menurutnya, beliau akan terus mengasingkan diri sebagai langkah berjaga-jaga dan akan terus mengikuti nasihat Jabatan Kesihatan.

Ujarnya, dua ujian terakhir pada 20 Mac lalu dan satu lagi ujian dilakukan pada hari berikutnya, mendapati dirinya negatif.

Dr Yii turut menjalani Ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk COVID-19.

“Apabila dua ujian ini menunjukkan keputusan negatif, doktor membuat keputusan untuk membenarkan saya pulang dengan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan dan galakan yang diberikan oleh semua pihak kepadanya sepanjang beliau menerima rawatan.

“Saya telah dikuarantin selama lebih kurang tujuh hari dan dalam tempoh itu, saya berada dalam keadaan baik.

“Kesemua profesional penjagaan kesihatan menjalankan tugas dengan baik dari hari pertama saya dimasukkan ke hospital dan mereka telah banyak membantu saya,” katanya lagi.

Jelasnya juga, apabila melihat para pengamal kesihatan sepanjang berada di Hospital Umum Sarawak (HUS), beliau melihat nilai kemanusiaan dipaparkan setiap hari dan seterusnya berfikiran positif.

“Para doktor, jururawat dan profesional penjagaan kesihatan lain, termasuk tukang cuci bukan sahaja berisiko kerana berada di barisan hadapan, tetapi juga mendedahkan keluarga mereka kepada wabak tersebut.

“Sungguhpun begitu, mereka terus bekerja keras setiap hari untuk memastikan kita berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Yii turut berdoa dan memberikan dan sokongan kepada mereka yang sedang berjuang melawan virus tersebut dan tidak lupa juga kepada mereka yang kian sembuh.

  • oleh
  • Advertisement