Anda di sini

Trump alu-alukan hubungan berterusan dengan Korea Utara

Advertisement
 Donald Trump berucap pada taklimat harian mengenai COVID-19, di Rumah Putih, kelmarin di Washington. — Gambar  AFP
TAKLIMAT: Donald Trump berucap pada taklimat harian mengenai COVID-19, di Rumah Putih, kelmarin di Washington. — Gambar AFP

SEOUL: Donald Trump telah mengutus sepucuk surat kepada Kim Jong Un yang memperincikan rancangan untuk mengembangkan hubungan, media kerajaan melaporkan sambil memetik adik perempuan pemimpin Korea Utara itu yang berpengaruh, tetapi adiknya itu memberi amaran bahawa hubungan peribadi mereka yang baik tidak memadai, ketika kerumpangan dalam rundingan pelucutan senjata berlarutan.

Kenyataan Kim Yo Jong dibuat sehari selepas Korea Utara yang memiliki senjata nuklear melancarkan apa yang dipercayai dua misil balistik jarak pendek di perairan pantai timurnya pada Sabtu, tindakan sedemikian yang terbaharu diambilnya pada tahun ini.  

“Dalam surat itu, beliau (Trump) menjelaskan rancangannya untuk menggerakkan hubungan di antara kedua-dua negara DPRK dan AS dan menyuarakan hasratnya untuk memberikan kerjasama dalam kerja anti-wabak”, yang dipercayai merujuk kepada pandemik koronavirus, Kim Yo Jong menyebut dalam kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) di Korea Utara semalam.

Seorang pegawai kanan pentadbiran mengesahkan Trump telah mengutus surat kepada Kim Jong Un, “konsisten dengan usahanya untuk berhubung dengan para pemimpin global pada waktu pandemik yang sedang berlaku sekarang”.

“Presiden mengalu-alukan komunikasi yang berterusan dengan Pengerusi Kim,” kata pegawai itu.

Sementara surat itu mencerminkan hubungan “cemerlang” di antara kedua-dua pemimpin, Kim Yo Jong memberi amaran bahawa hubungan yang lebih umum di antara kedua-dua negara mereka adalah berbeza.

“Kita cuba berharap untuk hari apabila hubungan di antara kedua-dua negara akan menjadi naik seperti hubungan di antara kedua-dua pemimpin tertinggi, tetapi ia perlu diserahkan kepada masa dan dilihat sama ada ia benar-benar boleh berlaku,” kata adik pemimpin itu.

Penganalisis berkata Korea Utara terus memperhalusi keupayaan senjatanya lebih setahun selepas kegagalan satu sidang kemuncak di antara Kim Jong Un dan Trump di Hanoi.

Kebuntuan adalah berhubung pelepasan sekatan ekonomi dan apa yang sanggup dilepaskan oleh Korea Utara sebagai balasan.

Pyongyang yang berada di bawah pelbagai set sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung program senjatanya berulang kali menyatakan hubungan baik di antara kedua-dua pemimpin adalah tidak memadai.

Kim Yo Jong memuji usaha Trump untuk memelihara hubungan baik dengan abangnya tetapi menambah: “Tidak ada orang tahu sejauh mana hubungan peribadi itu akan mengubah dan memimpin hubungan prospektif di antara kedua-dua negara, dan ia bukanlah sesuatu yang bagus untuk membuat kesimpulan yang tergesa-gesa atau bersikap optimis mengenainya.”

Jika Amerika Syarikat (AS) terus mendukung “hasratnya yang sehala dan tamak”, katanya, hubungan di antara kedua-dua negara akan terus merosot.

Trump, yang menimbulkan kebimbangan di negaranya sendiri kerana keakrabannya dengan pemimpin Korea Utara itu dan pemimpin kuku besi lain di dunia, akan bertanding semula dalam pilihan raya AS pada November.

Pyongyang menetapkan secara sehala tarikh akhir pada hujung 2019 untuk Washington menawarkan konsesi segar, dan pada hujung Disember lepas, Kim mengisytiharkan Korea Utara tidak lagi menganggap diri terikat dengan moratoriumnya ke atas ujian misil balistik antara benua dan nuklear.

Rachel Minyoung Lee, penganalisis kanan dengan laman pakar NK News, berkata kenyataan dari Kim Yo Jong – yang menyusuli satu ujian senjata baharu oleh Pyongyang – memang tepat pada waktunya untuk menunjukkan dengan jelas hasrat Korea Utara.

“Kesimpulan: Hubungan peribadi Kim-Trump adalah hebat tetapi tidak memadai, dan kami akan meneruskan agenda pembangunan senjata kami,” katanya.

Pada Sabtu, Kim Jong Un memerhatikan “pelancaran demonstrasi bagi sebuah senjata berpandu yang taktikal”, untuk mempamerkan sifat-sifat “dan kuasa sistem senjata baharu untuk disampaikan” kepada unit tentera, KCNA melaporkan semalam.

Selain itu, beliau bercakap mengenai “sistem senjata yang taktikal dan strategik pada peringkat pembangunan”, kata laporan itu.

Gambar yang disiarkan oleh akhbar rasmi Rodong Sinmun menunjukkan Kim, dalam kot kulit haiwan panjang berwarna hitam dengan senyuman yang lebar, dikelilingi para pegawai yang bersorak dalam sebuah pos pemerhatian.

Tiada seorang pun pegawai tersebut yang memakai topeng muka, tidak seperti sewaktu latihan baru-baru ini, apabila semua kecuali Don memakai penutup muka untuk menangani wabak koronavirus.

Korea Utara menegaskan ia belum lagi menjumpai kes yang sah di tanahairnya.

Majlis Keselamatan PBB menyatakan ia akan membuat pengecualian kemanusiaan kepada sekatan ekonomi ke atas Korea Utara untuk membantunya memerangi koronavirus. — AFP

Advertisement