Anda di sini

Pemuzik beralih kepada persembahan ‘live’ dalam talian

Advertisement
JOHN LEGEND
JOHN LEGEND

SELEPAS pandemik koronavirus menekan butang jeda sampai bila-bila masa ke atas konsert dan jelajah, ramai pemuzik mempamerkan pertunjukan menerusi kaedah striming untuk puluhan ribu peminat yang menguarantin diri.

Artis termasuk Neil Young, Chris Martin dari kumpulan Coldplay dan Christine and the Queens adalah antara mereka yang telah mempersembahkan pertunjukan dalam talian untuk orang yang duduk di rumah, selepas kerajaan di seluruh dunia melarang perhimpunan besar-besaran dan menggesa orang ramai berkurung.

“Oleh kerana semua kita di rumah dan tidak ramai yang keluar dari rumah, kami akan cuba membuat strim dari perapian saya dan isteri saya yang cantik membuat rakaman,” kata Young dalam laman sesawangnya.

“Ia adalah satu penerbitan dalam rumah, beberapa buah lagu, sedikit masa bersama,” kata penyanyi rock kelahiran Kanada itu, yang pada tahun ini menjadi seorang warga Amerika.

Martin, penyanyi utama kumpulan Coldplay, mengadakan pertunjukan secara langsung menerusi Instagram pada minggu lepas, konsert yang ternyata lebih intim berbanding pertunjukan arena penerbitan tinggi yang biasanya laris dijual oleh kumpulan pemuzik British itu.

“Mungkin 9/11 adalah kali terakhir saya rasa seakan-akan semua kita bersama,” kata Martin mengenai pandemik itu, ketika dia bercakap terus kepada kamera dan menerima permintaan termasuk lagu hit awal kumpulannya ‘Yellow’ dan karyanya yang kemudian seperti ‘Viva La Vida’.

CHRIS MARTIN
CHRIS MARTIN

Penyanyi berusia 43 tahun itu memakai baju panas biasa dan ‘beanie’ ketika dia bermain piano dan gitar secara bergilir-gilir, dan berkata pada satu detik: “Saya tidak mahu menekan sebarang butang yang mungkin boleh menamatkan keadaan ini.”

Pertunjukan maya Martin merupakan sebahagian daripada kolaborasi di antara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan Global Citizen – sebuah organisasi dengan matlamat memerangi kemiskinan tegar – bertajuk ‘Together, At Home’.

Penyanyi Coldplay itu mengumumkan pada hujung konsertnya bahawa bintang R&B John Legend akan menyusul selepasnya, dan bergurau bahawa: “Anda dapat melihat pemain piano tulen yang tidak memerlukan bunga api untuk bermain.”

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Citizen, Hugh Evans, memberitahu AFP bahawa siri itu bersifat semula jadi kerana “muzik sudah sekian lama menjadi kuasa penyatuan pada waktu krisis”.

“Jutaan sedang duduk di rumah dan mengasingkan diri,” katanya.

“Artis dan pemuzik telah bersatu untuk memberikan kita galakan, harapan dan misi bersama untuk mengambil tindakan bagi memerangi koronavirus.”

Dropkick Murphys yang disayangi di Boston menstrim satu pertunjukan Hari St Patrick walaupun perayaan yang biasanya riuh di bandar raya itu sudah dibatalkan.  

Bintang country, Keith Urban, yang terpaksa membatalkan satu pertunjukan di Houston, disertai isterinya Nicole Kidman untuk satu konsert, dan memberitahu peminat: “Kami di sini dalam gudang – inilah tempat kongsi kami, di mana kami menyimpan segalanya – dan kami fikir kami akan mengeluarkan kamera, iPhone, dan strim secara langsung.”

Ia bukan sekadar dunia pop dan rock yang muncul dalam talian: dunia klasikal juga mengikuti perkembangan semasa, dengan banyak syarikat yang membuka arkib pertunjukan dalam talian dan menyiarkan konsert secara percuma.

Metropolitan Opera di New York – ditutup kerana koronavirus sekurang-kurangnya sepanjang Mac – menstrim satu pertunjukan berlainan setiap malam dari koleksinya sejak 14 tahun lalu – dengan pertunjukan seperti ‘Carmen’ dan ‘La Boheme’ dalam sajian.

“Pada waktu yang luar biasa dan sukar ini, Met berharap untuk menceriakan kehidupan audiens kita walaupun ketika pentas kami gelap,” kata syarikat itu.

Berlin Philharmonic, yang ditutup sehingga 19 April, turut bermain untuk arkib “dewan konsert maya”.

“Kami harap menerusi inisiatif ini, kami dapat memberi keseronokan kepada seramai mungkin orang dengan muzik kami. Kami sudah pun sangat merindui orang awam dan harap  agar dengan cara ini, kami dapat terus berhubung dengan audiens kami,” kata pemain selo utama Olaf Maninger.

Di Perancis, penulis lagu dan penyanyi Jean-Louis Aubert – pengasas bersama kumpulan Telephone – memberitahu AFP “sebagai seorang penghibur siber” dia boleh mula mengatasi “keterpencilan” hidup pada waktu koronavirus.

Satu pertunjukan selama sejam setengah dalam talian mengumpul jutaan tontonan dan 65,000 komen.

“Ia benar-benar tersentuh hati,” katanya. “Saya menerima banyak mesej, khususnya dari orang yang mendapat jangkitan, yang memberitahu saya bahawa saya telah memberi mereka nafas udara segar – bahawa asya berjaya menenangkan mereka selama beberapa minit.”

Dan di Itali – titik panas bagi koronavirus yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi selepas China sebanyak 2,503, daripada lebih 31,500 kes – penyanyi rock Gianna Nannini menstrim satu pertunjukan akustik dalam media sosial.

“Kami akan melakukan segalanya yang termampu untuk sama-sama mengatasi waktu yang dahsyat ini,” katanya.

“Perkara buruk mengenai virus ini adalah kesepian.”

“Setiap daripada kita mesti membuat sesuatu yang tersendiri untuk masyarakat kita.” — AFP

Advertisement