Anda di sini

Larangan eksport penutup hidung, mulut bagi pastikan bekalan mencukupi - Muhyiddin

Advertisement
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melarang eksport semua penutup hidung dan mulut yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan bagi memastikan bekalannya mencukupi untuk rakyat Malaysia sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Setakat ini bekalan penutup hidung dan mulut ini belum lagi sampai ke tahap yang memuaskan dan kita telah mengambil keputusan untuk mengimportnya daripada China,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya, hari ini.

Menurut Muhyiddin, syarikat-syarikat tempatan mengalami kesukaran untuk mengeluarkan penutup hidung dan mulut yang secukupnya berikutan kekurangan bahan mentah.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengumumkan sebanyak 10 juta penutup hidung dan mulut akan diimport secara berperingkat yang akan diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan.

Laporan sebelum ini turut memetik Menteri Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai berkata, pengaihan penutup hidung dan mulut itu akan diutamakan kepada petugas barisan hadapan di peringkat kebangsaan atau negeri seperti kakitangan Kementerian Kesihatan, anggota polis, imigresen dan tentera.

Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata : “Saya diberitahu bahawa penutup hidung dan mulut ini akan dibawa masuk dengan harga lebih kurang RM1.18 sekeping dan kita akan agihkannya secara percuma kepada semua yang memerlukan. 

“Ini merupakan sumbangan kerajaan di waktu krisis yang sedang kita hadapi pada waktu ini.” 

Pada sidang media sama, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa inisiatif susulan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi atau EAC itu bagi meringankan mereka yang terjejas akibat COVID-19.

Ini termasuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun membuat pengeluaran daripada Akaun 2 masing-masing masing-masing, tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk selama 12 bulan bermula 1 April depan.

Initiatif pengeluaran i-Lestari itu dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dan membabitkan pengeluaran yang dianggarkan berjumlah RM40 billion, kata beliau. 

Muhyiddin berkata kerajaan juga bersetuju memberi lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam.

Selain itu, kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk menyokong usaha menangani COVID-19, termasuk pengambilan kakitangan baharu secara kontrak terutamanya jururawat.

Dalam pada itu, peruntukan sebanyak RM130 juta akan turut disalurkan kepada negeri-negeri bagi membantu kerajaan negeri menangani krisis COVID-19 berkenaan, kata Perdana Menteri. - Bernama 

Advertisement