Anda di sini

Kematian lebih 13,000 akibat COVID-19

Advertisement
 Anggota Polis Tempatan Rom membuat semakan dokumen pengesahan ke atas pengguna jalan raya di Via Pontina, di Rom, kelmarin ketika negara tersebut menguatkuasakan ‘lockdown‘ bagi menghentikan penyebaran  COVID-19. — Gambar  AFP
SEKATAN: Anggota Polis Tempatan Rom membuat semakan dokumen pengesahan ke atas pengguna jalan raya di Via Pontina, di Rom, kelmarin ketika negara tersebut menguatkuasakan ‘lockdown‘ bagi menghentikan penyebaran COVID-19. — Gambar AFP

ROM: Hampir satu bilion orang di seluruh rumah berkurung di rumah mereka semalam, manakala bilangan kematian disebabkan oleh koronavirus melebihi 13,000 dan kilang ditutup di negara paling teruk terjejas Itali selepas satu lagi rekod kematian dalam masa sehari.

Pandemik yang mengganas telah memaksa arahan berkurung di 35 negara di seluruh dunia, seterusnya mengganggu kehidupan, perjalanan dan perniagaan sementara kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menutup sempadan dan meluluskan ratusan bilion dalam langkah kecemasan untuk mengelak kemelesetan ekonomi yang dicetuskan oleh virus secara berleluasa.

Lebih 300,000 jangkitan sudah disahkan di seluruh dunia, dengan situasi yang semakin suram di Itali di mana bilangan kematian meningkat kepada lebih 4,800 – lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan di dunia.

Perdana Menteri Guiseppe Conte mengumumkan penutupan semua kilang tidak penting dalam satu ucapan TV larut malam pada Sabtu.

Negara Mediterranean yang mempunyai 60 juta itu kini adalah pusat tumpuan utama penyakit itu, yang mula-mula muncul di bahagian tengah China pada hujung tahun lepas sebelum ia merebak ke negara lain di dunia.

Itali kini sudah melaporkan lebih banyak kematian berbanding jumlah gabungan di tanah besar China dan Iran, dan ia mempunyai kadar kematian setinggi 8.6 peratus di antara jangkitan COVID-19 yang sah, jauh lebih tinggi berbanding di kebanyakan negara lain.

Di seberang Lautan Atlantik, lebih satu pertiga warga Amerika menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam pelbagai fasa arahan berkurung, termasuk di New York, Chicago dan Los Angeles tiga bandar raya terbesar di Amerika Syarikat (AS).

Negeri lain di AS juga dijangka akan mempertingkatkan sekatan.

“Ini adalah masa bagi pengorbanan kebangsaan yang sama, tetapi juga masa untuk menghargai orang yang kita sayangi,” kata Presiden AS Donald Trump. “Kita akan mencapai kemenangan yang besar.”

Sementara para pemimpin dunia berikrar untuk memerangi pandemik ini, jumlah kematian dan jangkitan masih meningkat, terutamanya di Eropah kawasan jangkitan utama di dunia.

Sepanyol melaporkan peningkatan setinggi 32 peratus dalam kematian baharu pada Sabtu, dan Perdana Menteri Pedro Sanchez memberi amaran dalam satu ucapan TV bahawa negara itu perlu bersiap sedia untuk “hari-hari yang sangat susah di depan”.

Kematian di Perancis melonjak kepada 562 manakala pegawai polis berkata helikopter dan dron telah digunakan untuk merangsang usaha kerajaan untuk memastikan rakyat duduk di rumah mereka.

Langkah luar biasa untuk menangani penularan COVID-19 telah merobek kalendar sukan antarabangsa, dan tekanan semakin meningkat ke atas penganjur Olimpik untuk menunda temasya Sukan Tokyo 2020.

Pandemik itu telah membelantan pasaran saham global, dan AS – ekonomi terbesar di dunia – sedang menyediakan pakej rangsangan kecemasan besar yang dijangka mencecah AS$1 trilion (RM4 trilion).

Jutaan telah diarah untuk duduk di rumah di AS.

New Jersey pada Sabtu mencontohi beberapa negeri lain untuk meminta penduduk duduk di rumah. Gabenor Phil Murphy mengarahkan semua perniagaan tidak perlu untuk menutup kedai fizikal mereka dari jam 9:00 malam (pagi Ahad).

Di negeri jiran New York, Gabenor Andrew Cuomo memberi amaran bahawa gangguan itu mungkin akan memakan masa berbulan-bulan, bukan berminggu-minggu.

“Saya tidak fikir ia boleh berlaku di bandar raya sebesar ini untuk rakyat meneruskannya dengan jauh lebih lama lagi daripada tiga minggu sebelum mereka mula rasa tertekan,” kata seorang penyanyi berusia 35 tahun, Yona Corn, kepada AFP.

“Saya rasa krisis kesihatan mental besar akan berlaku. Saya bimbang mengenai apa yang akan berlaku kepada orang ramai.”

Ahli-ahli Kongres berharap untuk menyetujui pakej bantuan kecemasan AS$1 trilion sementara kebimbangan meningkat tentang kesan ekonomi daripada krisis itu.

Pentadbiran Makanan dan Ubat AS turut meluluskan ujian koronavirus pertama yang dapat dikendalikan seluruhnya pada bahagian penjagaan bagi pesakit dan menyampaikan hasil dalam masa 45 minit.

Naib Presiden AS Mike Pence dan isterinya diuji negatif bagi koronavirus, setiausaha medianya menciap pada Sabtu.

Pasangan itu telah menjalani pemeriksaan selepas salah seorang kakitangan Pence dijangkiti penyakit itu.

China melaporkan jangkitan tempatan pertamanya dalam tempoh empat hari semalam. Sementara jumlah kes di tanah besar sudah turun dengan dramatik sejak krisis itu bermula, terdapat kebimbangan mengenai kes “import” dari kawasan jangkitan utama lain seperti Eropah.

Perancis, Itali, Sepanyol dan negara lain di Eropah telah mengarahkan orang untuk duduk di rumah, dan mengugut untuk mengenakan denda dalam beberapa kes, manakala Australia semalam meminta warga negara untuk membatalkan rancangan perjalanan domestik.

Britain telah mengarahkan pub, restoran dan pawagam ditutup dan memberi amaran kepada warga negara untuk berhenti melakukan pembelian panik.

India juga mengarahkan rakyat berkurung semalam dengan “perintah berkurung kendiri” sehari di seluruh negara.

Walaupun golongan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan adalah golongan yang paling teruk terjejas disebabkan oleh virus, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa golongan muda juga terdedah.

Perangkaan COVID-19 yang tepat sukar dicapai kerana kebanyakan mangsa mengalami penyakit lain, dan kadar jangkitan adalah tidak menentu kerana kekurangan ujian di banyak negara.

Koronavirus turut menjangkiti lebih 1,000 orang di Afrika, di mana sistem penjagaan kesihatan adalah terhad dan langkah penjarakan sosial seperti apa yang diguna pakai di Amerika Utara dan Eropah adalah sukar di kota-kota yang sesak.

Timur Tengah juga terus dalam keadaan berjaga-jaga, di mana Iran yang mengalami wabak besar-besaran melaporkan 123 kematian baru pada Sabtu.

Namun Republik Islam itu enggan menyertai negara lain di dunia dalam usaha melaksanakan sekatan ketat. — AFP

Advertisement