Anda di sini

Kementerian Kesihatan, TNB seru korporat Malaysia bekerjasama bantu usaha kerajaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah memulakan satu usaha kerjasama untuk menggalakkan syarikat korporat di Malaysia bekerjasama dengan kerajaan dan berganding bahu memerangi penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Inisiatif ‘Corporate Malaysia Against COVID-19 Action Coalition’ itu menggesa syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain untuk memberikan sokongan kewangan kepada Kementerian Kesihatan bagi membantu menambah bekalan perubatan yang semakin berkurangan ketika negara bergelut untuk membendung COVID-19,” kata Kementerian Kesihatan dan TNB dalam satu kenyataan bersama, kelmarin.

Sebagai perbadanan yang menerajui usaha ini, TNB telah berjanji memberi bantuan berjumlah RM10 kepada Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata pertambahan bilangan pesakit yang dijangkiti virus COVID-19 di Malaysia telah memberi tekanan kepada sumber hospital kerajaan yang dikhususkan bagi merawat penyakit itu.

“Bantuan kewangan ini daripada TNB akan membolehkan Kementerian Kesihatan mendapatkan peralatan penjagaan kesihatan dan perubatan segera yang diperlukan dalam usaha memerangi wabak COVID-19 yang sedang menular sekarang.

“Kita berharap GLC dan perbadanan lain di Malaysia akan menyertai usaha kerjasama ini bagi membantu kami berdepan pandemik ini dengan lebih baik lagi,” katanya.

Pada Khamis, sebanyak 110 lagi kes baharu COVID -19 dilaporkan di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 900 kes.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ini adalah perjuangan yang kita semua terlibat di dalamnya.

“Sebagai ketua syarikat korporat yang kejayaannya terbina di atas kudrat tenaga berjuta-juta rakyat Malaysia, kita kini perlu berganding bahu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

“Kerjasama antara sektor awam dan swasta kini amat diperlukan. Saya ingin menyeru rakan-rakan saya dalam sektor korporat Malaysia untuk berganding bahu bersama kami dalam tempoh sukar ketika ini dan menyediakan sokongan kritikal kepada pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan kita,” kata Amir Hamzah.

Perbadanan dan organisasi yang berminat untuk memberikan sokongan boleh menghubungi Kementerian Kesihatan di talian (03)8883-3069/3076/2406. — Bernama

Advertisement