Anda di sini

Festival Filem Cannes 2020 turut ditangguhkan kerana COVID-19

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 18 April 2019 ini menunjukkan Lescure (kiri) dan Thierry Fremaux di hadapan poster rasmi Cannes semasa penyampaian Pilihan Rasmi Festival Filem Cannes ke-72di Paris. Festival filem Cannes tidak akan diadakan pada Mei.  — Gambar AFP
MANGSA TERKINI: Gambar fail bertarikh 18 April 2019 ini menunjukkan Lescure (kiri) dan Thierry Fremaux di hadapan poster rasmi Cannes semasa penyampaian Pilihan Rasmi Festival Filem Cannes ke-72di Paris. Festival filem Cannes tidak akan diadakan pada Mei. — Gambar AFP

FESTIVAL filem Cannes tidak akan berlangsung seperti yang dirancangkan pada Mei disebabkan pandemik koronavirus, kata lembaganya baru-baru ini, dengan para pengarahnya berharap untuk menangguhkannya sehingga penghujung Jun.

Dengan beberapa acara hiburan utama termasuk Eurovision Song Contest menjadi mangsa COVID-19, festival filem terbesar dunia itu sebelum ini tetap yakin yang ia mempunyai peluang untuk diteruskan.

Pengarah Thierry Fremaux pada minggu lepas berkata bahawa anda “tidak dapat melihat Mei menerusi lensa bulan Mac”.

Namun lembaga Cannes menyerah kalah pada Khamis selepas melihat keparahan pandemik itu buat masa sekarang dan kini merancang untuk menjadualkan semula festival 12 hari itu, yang sepatutnya bermula pada 12 Mei, sehingga ke penghujung Jun atau awal Julai.

Beberapa festival filem yang lebih kecil, termasuk Tribeca, SXSW dan Edinburgh telah pun membatalkan atau menangguhkan acara mereka.

Kebimbangan masih lagi menghantui sama ada Cannes dapat diteruskan, dengan penggambaran filem dihentikan atau dibatalkan di seluruh dunia.

Lembaga berkata penangguhan adalah keutamaan daripada beberapa pilihan yang ia ada pada waktu ini.

Presiden festival Pierre Lescure berkata minggu lepas, walaupun jarak yang dekat dengan Itali yang teruk terkena COVID-19, dia masih berharap pemain-pemain besar Hollywood masih akan datang ke festival.

“Kami masih sangat optimistik berharap yang kemuncak epidemik akan berakhir pada penghujung Mac dan kami dapat bernafas dengan lebih bebas pada April,” katanya kepada harian Perancis, Le Figaro.

Variety sebelumnya telah mendedahkan yang festival itu telah menolak peluang untuk mengambil insurans terhadap pandemik itu.

Namun Lescure berkata, apa yang ditawarkan adalah “kacang” jika dibandingkan dengan kos 32 juta-euro (AS$36-juta) untuk menganjurkan festival itu, yang menarik lebih daripada 40,000 orang ke pekan Mediterranean itu.

“Kami mempunyai simpangan (kewangan),” tambahnya. “Dana yang kami ada membolehkan kami berhadapan dengan satu tahun tanpa perolehan.”

Cannes masih lagi dijangka akan mengumumkan senarai filemnya pada bulan depan dan lembaga berkata ia akan membuat keputusan mengenai sama ada untuk meneruskan atau tidak “berdasarkan perbincangan yang berlangsung antara kami dengan kerajaan Perancis, dewan bandar Cannes” dan industri filem.

Pengarah Spike Lee dijangka akan mengetuai barisan juri, orang berkulit hitam pertama yang melakukannya.

Filem Korea Selatan, ‘Parasite’, menang anugerah teratas Cannes, Palme d’Or pada tahun lepas dan akhirnya mengecapi kejayaan di anugerah Oscar, menjadi filem bukan bahasa Inggeris pertama yang memenangi filem terbaik. — AFP

Advertisement