Anda di sini

Bayangan kepimpinan Trump dalam siri HBO ‘The Plot Against America’

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 4 Mac 2020 ini menunjukkan aktres AS Winona Ryder menghadiri tayangan perdana ‘The Plot Against America’ di Florence Gould Hall, New York City. Philip Roth tidak mungkin dapat membayangkan kepimpinan Donald Trump sebagai presiden ketika dia menulis ‘The Plot Against America’. Namun adaptasi TV baharu bagi novel suram yang dia tulis pada 2004, yang menggambarkan sejarah selang (alternate history) bagi negara AS yang fasis, ternyata membayangkan kaitan di ant
SEBAGAI WATAK UTAMA: Gambar fail yang diambil pada 4 Mac 2020 ini menunjukkan aktres AS Winona Ryder menghadiri tayangan perdana ‘The Plot Against America’ di Florence Gould Hall, New York City. Philip Roth tidak mungkin dapat membayangkan kepimpinan Donald Trump sebagai presiden ketika dia menulis ‘The Plot Against America’. Namun adaptasi TV baharu bagi novel suram yang dia tulis pada 2004, yang menggambarkan sejarah selang (alternate history) bagi negara AS yang fasis, ternyata membayangkan kaitan di ant

PENULIS Amerika Syarikat (AS) Philip Roth tidak mungkin dapat membayangkan kepimpinan Donald Trump sebagai presiden ketika dia menulis ‘The Plot Against America’.

Namun adaptasi TV baharu bagi novel suram yang dia tulis pada 2004, yang menggambarkan sejarah selang (alternate history) bagi negara AS yang fasis, ternyata membayangkan kaitan di antara fantasi dan realiti politik sekarang.

David Simon, pencipta saga jenayah dadah yang menerima pujian ‘The Wire’, mendapat restu Roth – yang meninggal dunia pada 2018 – sebelum dia melancarkan siri enam episod terbitan HBO itu.

“Jika anda membaca novel itu, ia mengejutkan bagaimana ia menggambarkan keadaan politik kita sekarang,” kata Simon dalam satu temu ramah bersama NPR.

“Dalam beberapa perkara, menggunakan masa lalu dan cuba merujuk kepada masa lalu sebagai alegori adalah peluang terbaik kita untuk menjelaskan apa yang telah berlaku kepada politik Amerika sekarang.”

Siri itu, yang mula bersiaran lewat Isnin, mengajukan pertanyaan “bagaimana keadaannya jika” yang amat besar – bagaimana keadaannya jika wira penerbangan (dan diketahui sebagai penyokong fasis) Charles Lindbergh telah menewaskan Franklin D Roosevelt dalam pilihan raya presiden pada 1940?

Sejarah selang telah menjadi satu genre kecil dalam era TV puncak – contoh lain termasuk drama distopian ‘The Man in the High Castle’ dan siri popular terbitan HBO ‘Watchmen’.

Namun tidak seperti banyak contoh lain, ‘The Plot Against America’ mengundang persamaan dekat yang tidak menyenangkan dengan kejadian dalam kehidupan sebenar.

Walaupun Lindbergh tidak pernah menjadi ahli Republikan yang menaruh harapan untuk duduk di Rumah Putih, dia merupakan ikon negara dan wajah Jawatankuasa ‘America First’, sebuah pergerakan pengasingan yang berpengaruh dan mempunyai seramai 800,000 anggota yang tidak mahu AS terlibat dalam Perang Dunia II.

Siri itu malah mengolah semula ucapan paling terkenal daripada juruterbang pertama yang menerbangkan pesawat secara solo merentasi Lautan Atlantik, di mana dia mengecam kekejaman Nazi tetapi menuduh orang Yahudi mahu mengheret Amerika ke dalam kancah peperangan tersebut.

Sedikit demi sedikit, siri itu menggambarkan kecondongan masyarakat Amerika ke arah ketakutan, perkauman dan keganasan.

- ‘RAPTAI UNTUK FAHAMAN FASIS’ -

Simon – yang menulis siri itu bersama kolaborator ‘Wire’, Ed Burns – menceritakan kisah, sama seperti Roth, berlatarbelakangkan bandar asal penulis itu di Newark, New Jersey, dalam rumah sebuah keluarga Yahudi yang biasa.

Dengan membataskan jumlah watak, siri itu kekal pada tumpuan dan membolehkan penonton untuk memahami lebih mendalam tentang personaliti dan motivasi mereka.

“Buku Roth berada pada tahap paling berpengaruh apabila ia meneliti apa yang dibuat oleh anggota keluarga Yahudi Amerika ini ... apabila mereka berdepan dengan raptai bagi fahaman fasis di negara mereka,” kata Simon kepada NPR.

“Setiap daripada mereka bergelut dengan persoalan iaitu di manakah anda berdiri di sebuah negara Amerika yang sedang mengubah diri menjadi sesuatu yang bukan sebuah republik?”

“Dan itulah di mana kita berada” di Amerika sekarang, tambah Simon, seorang bekas pemberita akhbar Baltimore Sun yang juga pernah mengusahakan ‘Treme’ dan ‘The Deuce’ untuk HBO.

Pada 2013, Simon dihubungi untuk mengusahakan ‘Plot’ tetapi dia berkata dia menolak ketika itu kerana dia tidak fikir negara itu “pergi ke arah itu”.

Barack Obama berada di Pejabat Bujur ketika itu, dan Simon percaya masyarakat Amerika kelihatan seperti sedang berubah untuk menjadi lebih inklusif, dan menamatkan perkauman dan segregasi.

Simon menghimpunkan barisan pelakon bintang untuk menceritakan kisah itu, termasuk Winona Ryder sebagai seorang wanita yang bertunang dengan seorang pendeta Yahudi (John Turturro) yang akhirnya bekerja untuk Lindbergh dan menyangka dia dapat menggunakan pengaruhnya untuk mengekang dasar-dasarnya yang anti-Semitik.

“Saya rasa saya agak yakin bahawa ia bukan sahaja boleh berlaku di sini, tetapi kita sekarang berada di jalan di mana ia akan berlaku di sini,” kata Simon mengenai laluan ke arah pemerintahan demagog, sambil mengecam apa yang dia sebut sebagai “pemerintahan salah” Trump.

Dia menambah ia boleh berlaku “jika tidak ada tahap kesedaran yang mencukupi tentang betapa lemahnya kita dan betapa rapuh sebenarnya demokrasi”. — AFP