Anda di sini

Tempahan penghantaran makanan meningkat susulan Perintah Kawalan Pergerakan  

Advertisement

KUCHING: Perkhidmatan bagi tempahan penghantaran makanan di sekitar bandar raya ini meningkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 berkuatkuasa 18 Mac.

Perkara ini diakui oleh penghantar makanan yang beroperasi dibawah syarikat-syarikat perkhidmatan penghantaran yang berbeza antaranya yang popular di bandar raya ini, Foodpanda dan Grab Food. 

Seorang penghantar Grabfood, Jalie Sazali Jhony ketika ditemui hari ini berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan semalam, dia menerima peningkatan bagi tempahan penghantaran makanan. 

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan semalam (18 Mac), saya sendiri menerima sekitar 20 tempahan penghantaran makanan sehari. Biasanya, saya hanya menerima dalam 14 tempahan sehari dari jam 9 pagi hingga 4 petang sambung semula pada jam 6 petang hingga tengah malam,” katanya. 

Jalie
Jalie

Sementara itu Muhd Hafizzulah, penghantar Foodpanda yang ditemui juga mengakui menerima peningkatan ketara untuk tempahan penghantaran makanan sejak penularan COVID-19 disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan. 

“Memang ada peningkatan ketara terutama pada waktu makan tengah hari. Selalunya hanya satu tempahan diterima dalam satu masa tetapi sekarang dua atau tiga tempahan diterima dalam satu masa yang sama,” katanya. 

Tambah Hafizzulah, dia hanya bekerja sebagai penghantar makanan dalam setengah hari setiap hari dan biasanya menerima kurang daripada 20 tempahan. 

Tetapi katanya, selepas Perintah Kawalan Pergerakan dia menerima lebih daripada 20 tempahan penghantaran makanan untuk waktu kerja yang sama. 

“Paling banyak tempahan penghantaran makanan diterima dari restoran-restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald,” katanya. 

Hafizzullah
Hafizzullah

Seorang lagi penunggang Grabfood, Mohd Shafiq Mohtadi yang ditemui turut memberitahu menerima peningkatan tempahan penghantaran makanan selepas  penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan. 

“Biasanya saya hanya menerima kurang daripada 10  tempahan sehari. Tetapi semalam dari jam 4 petang hingga 10.30 malam saya dapat 16 tempahan. 

“Kawasan penghantaran tidak terhad dan bergantung kepada tempahan yang diterima. Tetapi untuk  saya sendiri, saya menghantar sampai  ke Jalan Song dari Satok,” katanya. 

Shafiq
Shafiq
  • oleh
  • Advertisement