Anda di sini

Kumpul kayu di tanah kerajaan, dua lelaki dipenjara dan denda

 Dua lelaki dipenjara satu bulan dan denda RM25,000 didapati bersalah mengumpul kayu tanpa lesen.
KE PENJARA: Dua lelaki dipenjara satu bulan dan denda RM25,000 didapati bersalah mengumpul kayu tanpa lesen.

KAPIT: Dua lelaki iaitu seorang rakyat tempatan, Khairuddin Sait, 40, dan seorang warganegara Indonesia, Shalwah Rasyid, 53, dijatuhi hukuman penjara satu bulan dan denda RM25,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kapit di sini semalam.

Mereka didapati bersalah kerana mengumpul kayu di kawasan tanah kerajaan negeri tanpa lesen yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 90(1) dan (2) Ordinan Hutan 2015.

Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda dan diperintah menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan Hulu Pelagus pada 12 Mac lalu.

Keputusan dibuat di hadapan Hakim Stella Augustine Druce.

Hakim juga memerintahkan tertuduh membayar RM57,773 kepada kerajaan negeri Sarawak bagi maksud nilai kayu rampasan.

Hakim sebelum menjatuhkan hukuman berkata dengan mengambil kira kepentingan awam, aktiviti pembalakan haram adalah kesalahan serius dan berleluasa di negeri ini.

Pegawai Pendakwa Mohamad Fuad Ahmad dan M Muhaimin mewakili Jabatan Hutan Sarawak.

Advertisement