Anda di sini

Hari terakhir di Tarakan dan perjalanan ke Balikpapan

Advertisement
"Destinasi kami selanjutnya ialah Gedung Balai Adat Tidong dan Budaya Kota Tarakan. Pak Ahmad Seyuti dari Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kota Tarakan memberikan pelbagai informasi berguna mengenai adat budaya dan kehidupan masyarakat Tidong"
"Destinasi kami selanjutnya ialah Gedung Balai Adat Tidong dan Budaya Kota Tarakan. Pak Ahmad Seyuti dari Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kota Tarakan memberikan pelbagai informasi berguna mengenai adat budaya dan kehidupan masyarakat Tidong"

BUNGA Cinta Lestari (BCL) memesan sepasang makam berdampingan dengan arwah suaminya, Ashraf Sinclair yang meninggal secara tiba-tiba akibat serangan jantung di Rumah Sakit MMC Kuningan Jakarta.

Khabar duka menyelimuti dunia seni  dan pemergiannya bukan saja mengejutkan peminatnya di Indonesia malah kehilangannya turut dirasai di Malaysia.

Ashraf adalah seorang aktor terkenal berasal dari Malaysia. Kisah cintanya terjalin harmoni dengan BCL sehinggalah maut memisahkan mereka kira-kira 11 tahun kemudian.

 Datuk Razak, Jaber, Ag Mohd Hafiz RM Mohamed bergambar di Muzium Kota Tarakan.
MELAWAT MUZIUM: Datuk Razak, Jaber, Ag Mohd Hafiz RM Mohamed bergambar di Muzium Kota Tarakan.

Ketika menonton berita itu di TV, saya sudah lupa saluran apa, kami baru saja selesai bersarapan di Hotel d’Calia Tarakan. Ashraf meninggal kira-kira 4.51 waktu Indonesia Barat (WIB) dan dimakamkan di Al Masjid Mansion, Kompleks San Diego Memorial Park and Funeral Homes di Karawang Jawa Barat meninggalkan seorang anak, Noah Sinclair.

BCL memesan makam 4 x2 meter untuk dua orang berjumlah Rp270 juta di kawasan Al Masjid Mansion, San Deigo  yang disediakan khusus untuk kaum Muslim. Berita mengenai pemergian Ashraf Sinclair itu mendominasi berita penyiaran pada hari itu.

 Delegasi dari Sabah ketika melawat Gedung Balai Adat Tidong.
DI GEDUNG BALAI ADAT: Delegasi dari Sabah ketika melawat Gedung Balai Adat Tidong.

“Kami baru saja bertemu,” kata Hafiz, usahawan muda dari Sabah. Kami hanya mampu membacakan surah Al Fatihah sebelum ke Hotel SwissBel  menghadiri acara Business matching.

Selepas program B 2 B itu yang turut dihadiri Walikota Tarakan, Dr Khairul, kami melawat Kilang Papan Lapis terkenal, PT Idec. Dari sana, kami berkunjung ke Muzium Tarakan bagi melihat kisah Perang Dunia Ke II melawan Jepun dan muzium mengenai pengeluaran minyak dan gas di Tarakan.

 Pelamin pengantin atau dalam bahasa Tidong disebut Panggaw.
PELAMIN: Pelamin pengantin atau dalam bahasa Tidong disebut Panggaw.

Destinasi kami selanjutnya ialah Gedung Balai Adat Tidong dan Budaya Kota Tarakan. Pak Ahmad Seyuti dari Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kota Tarakan memberikan pelbagai informasi berguna mengenai adat budaya dan kehidupan masyarakat Tidong.

Banyak hal menarik di sana, mulai dari cara hidup masyarakat Tidong, perkahwinan, adat kelahiran dan sebagainya

Kita boleh melihat pelamin untuk pengantin yang dalam bahasa Tidong disebut Panggaw. Ada juga peralatan muzik tradisi seperti lundang, rebana, rudus, lintang, kelunting dan tumpung. Alat-alat set muzik kuintangan yang popular di kalangan masyarakat Tidong, masyarakat asli Kota Tarakan.

 Padaw tuju dulung atau perahu tujuh haluan.
PERAHU TIDONG: Padaw tuju dulung atau perahu tujuh haluan.

Padaw Tuju Dulung adalah kebanggaan suku Tidong. Padaw Tuju Dulung yang bermakna Perahu Tujuh Haluan ini adalah kenderaan khas Raja Tarakan sekitar abad ke 16 dan ke-17, iaitu zaman kegemilangan Raja Tarakan.

Kini Padaw Tuju Dulung diturunkan ke laut pada acara pesta rakyat yang di sebut Iraw Tengkayu. Proses menurunkan Padaw Tuju Dulung diiringi 24 pembawa panji, 14 pemikul padaw tuju dulung, 30 pemain hadrah dan 13 pemuzik kulintangan yang diketuai seorang `lingkuda’ atau pemimpin upacara.

 Gedung Balai Adat Tidong dan Budaya Kota Tarakan.
BESAR DAN LUAS: Gedung Balai Adat Tidong dan Budaya Kota Tarakan.

Iraw Tengkayu pernah dinobatkan sebagai tarikan budaya paling popular di seluruh Indonesia oleh Kementerian Pariwisata Indonesia dalam program Anugerah Pesona Indonesia pada 2016.

Gedung Balai Adat Tidong dan Budaya Kota Tarakan ini mula dibina pada tahun 2012 dan siap pada 2014. Sehingga kini ia berjaya menyedut perhatian pelancong mahupun pengunjung ke kota termaju di Kalimantan Utara itu.

Pak Ahmad Seyuti, seorang yang memiliki pengetahuan yang banyak mengenai masyarakat Tidong dan Kota Tarakan.

 Delegasi peniaga dari Sabah bergambar di Gedung balai Adat Tidong.
KENANGAN: Delegasi peniaga dari Sabah bergambar di Gedung balai Adat Tidong.

Sepanjang kunjungan ke Gedung Balai Adat itu kita dapat melihat bagaimana pemerintah Kota Tarakan berusaha untuk memelihara khazanah dan adat budaya masyarakat di pulau itu.

Meskipun kunjungan kali ini lebih kepada misi perniagaan namun delegasi dari Sabah yang berkunjung ke Tarakan pada 17 hingga 19 Februari sempat berkunjung ke beberapa destinasi menarik seperti kunjungan ke Gedung Balai Adat Tidong itu Selain itu, banyak yang dapat dipelajari dalam kunjungan ke kilang memproses makanan laut, dagangan eksport Tarakan ke luar negara.

Begitu juga kilang papan lapis terbesar yang dipasarkan ke Taiwan dan Jepun serta pasaran Eropah.

Selepas kunjungan ke Kota Tarakan itu, delegasi 24 peniaga dan usahawan dari Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Negeri Sabah meneruskan perjalanan ke Balikpapan.

 Sebatang Jalan menuju Gedung Balai Adat Tidong di Kota Tarakan.
HARMONI: Sebatang Jalan menuju Gedung Balai Adat Tidong di Kota Tarakan.

Surat khabar Tribun Kaltim 19 Februari melaporkan di muka depannya mengenai tiga daripada 78 warga Indonesia yang bekerja sebagai kru kapal pesiar Diamond Princess  positif terjangkit COVID-19. Terdapat 446 orang di kapal yang dikuarantin  di Perairan Yokohama Jepun sejak 5 Februari.

Namun yang lebih menarik mungkin adalah berita di halaman dua. Walikota Balikpapan, Rizal Effendi membuka peluang kepada pelabur untuk melabur dan  turut sama membangun Balikpapan.

Pemerintah Kota Balikpapan menawarkan kerjasama penerbangan laluan Kota Kinabalu-Balikpapan untuk memudahkan hubungan dagang antara kedua kawasan yang berbeza negara tapi masih berada dalam satu pulau.

 Muzium yang menyimpan pelbagai catatan sejarah di Kota Tarakan.
SEJARAH: Muzium yang menyimpan pelbagai catatan sejarah di Kota Tarakan.

Beliau berharap pembukaan laluan penerangan terus dari Kota Kinabalu ke Balikpapan akan membuka peluang pelaburan seperti pengelolaan berbagai hal seperti perumahan dan pelancongan.

Penerbangan dari Tarakan ke Balikpapan mengambil masa kira-kira sejam. Tidak lama kemudian kami tiba di Lapangan Terbang Sepinggan. Jarak antara Tarakan ke Balikpapan mungkin lebih dekat tetapi jika ada penerbangan langsung dari Kota Kinabalu ke Balikpapan, banyak masa boleh dimanfaatkan.

Advertisement