Anda di sini

Memburu Sepit Biru sepanjang hari

Advertisement
 Pemandangan perumahan Nelayan Sungai Nabahan,Weston
INDAH: Pemandangan perumahan Nelayan Sungai Nabahan,Weston

Hasilnya bergantung keadaan cuaca dan rezeki

MISI minggu lalu yang kurang memberansangkan membuat kami panasaran dan ingin meneruskan pemburuan selepas menerima info dari tekong Baem yang berjaya menaikkan banyak udang galah saiz jenggo di lubuk Gudang.

Selepas menempah perahu Mansur, kami mula sibuk mencari dan mengumpul umpan termasuklah cacing, jantung dan hati ayam, perumpun sarang, kelapa parut dan kelapa bakar.

 Seorang nelayan sedang menjala udang galah di sungai Weston
MERAMBAT: Seorang nelayan sedang menjala udang galah di sungai Weston

Memandangkan jarak pekan Weston-Papar sejauh lebih 80km,kami berangkat sebelum azan subuh dan menunaikan solat subuh di masjid pekan Bongawan.

Seperti biasa sebelum turun ke jeti berhampiran pelabuhan lama, kami singgah di gerai kaki lima bangunan kedai lama yang berusia lebih seratus tahun membeli sedikit makanan sebagai bekalan.

Cuaca kelihatan agak cerah dan air sungai mulai surut dan kabut.

 Tekong Baem menaikkan sepit biru saiz jenggo di lubuk Labui.
JENGGO: Tekong Baem menaikkan sepit biru saiz jenggo di lubuk Labui.

Tekong menghidupkan injin sangkut dan terus membawa kami ke lubuk pertama berhampiran lubuk Orang Kampung.

Suasana pagi terasa sunyi dan sepi hanya sesekali terdengar suara monyet dari balik pokok nipah.

Di kawasan inilah selalu kelihatan gerombolan monyet Belanda menjelang waktu senja dan pelancong yang menaiki perahu besar riuh rendah sambil merakam gambar monyet di atas pokok.

 Penulis turut menaikkan seekor sepit biru di lubuk hulu Labui
NANGGALAH SAUH: Penulis turut menaikkan seekor sepit biru di lubuk hulu Labui

Pekan Weston bukan sahaja terkenal sebagai syurga memancing udang galah malah ianya juga tersohor sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik dengan produk kelip-kelip dan monyet Belanda.

Kini sejak virus Covid-19 melanda dunia,tiada lagi bas-bas besar memasuki pekan Weston dan beberapa buah restoran yang menyediakan makanan laut segar juga lengang.

Misi kami kali ini disertai Salim dari Tawau, Matnor dari Terengganu dan keduanya kelihatan cukup bersemangat sambil melabuhkan umpan selepas sauh diturunkan.

 Matnor gembira dapat menaikkan seekor sepit biru sebelum hujan turun
SEPIT BIRU: Matnor gembira dapat menaikkan seekor sepit biru sebelum hujan turun

Memandangkan kurang hasil di lubuk pertama,kami berpindah ke sungai Nabahan dengan harapan mendapat hasil lumayan.

Selepas menunggu lebih setengah jam di dua lubuk, hanya seekor sepit biru berskala jenggo meliggan umpan di lubuk Nelayan.

Kami mengambil keputusan beralih ke lubuk Labui kerana air sungai Nabahan terlalu kabut dan arus deras turun dari hulu sungai.

 Salim berpuas hati dengan hasil seekor sepit biru remaja
PUAS HATI: Salim berpuas hati dengan hasil seekor sepit biru remaja

Menurut tekong Baem biasanya air kabut di sungai Nabahan kesan limpahan hujan di kawasan padalaman hulu sungai Padas.

Menjelang jam 3:30 petang cuaca mendung diselangi bunyi guruh dan tekong Baem membawa kami pindah ke lubuk Nipah sebelum hujan merenyai.

 Pak Chad berjaya menaikkan seekor sepit biru saiz jenggo di lubuk Nelayan sungai Nabahan.
HASIL PERTAMA: Pak Chad berjaya menaikkan seekor sepit biru saiz jenggo di lubuk Nelayan sungai Nabahan.

Salim yang duduk di bahagian depan perahu dan Matnor di bahagian tengah kelihatan basah kuyup namun tetap bersemangat selepas menarik beberapa ekor sepit biru di lubuk Labui dan 

 lubuk Teratai.

 Hasil pancingan sepanjang hari
BERHASIL: Hasil pancingan sepanjang hari

Memang benarlah udang galah tidak bermusim, ada tetap ada hanya jumlahnya saja yang berbeza bergantung pada cuaca dan rezeki, kata tekong Baem sebelum berangkat pagi tadi.

Apa yang penting, kena rajin mencarinya, apabila kurang hasil di kawasan hulu sungai kena cari di sebelah hilirnya. Harus rajin jangan malas," ujarnya.

SEPIT BIRU: Beginilah antara saiz udang galah yang berjaya dipancing

Jam menunjukkan 5.30 petang dan air sungai mulai kembali surut, kami menuju ke lubuk terakhir di kawasan lubuk Orang Kampung.

Sehingga misi ditamatkan kira-kira jam 6.00 petang kami masih gagal meraih hasil yang diharapkan. 

  • oleh
  • Advertisement