Anda di sini

Kerjasama PIBG, sekolah bina kesefahaman tentang tugas, tanggungjawab tingkat prestasi sekolah

Advertisement

SRI AMAN: Kerjasama erat di antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti  Datuk Francis Harden Hollis berkata, permuafakatan di antara kedua dua belah pihak ini akan menjadi kunci kejayaan PIBG dan sekolah dalam melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.

“PIBG juga mempunyai peranan saling lengkap melengkapi terhadap fungsi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid dan guru di sekolah.

“PIBG juga mempunyai peranan yang penting dalam pengurusan sesebuah sekolah.

“Antaranya ialah membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid, menambah sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah.

“Selain daripada itu PIBG juga berperanan meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat setempat,meningkatkan keceriaan premis sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang konduksif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan,” ujarnya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen, Sri Aman di sebuah restoran terkemuka di sini malam kelmarin.

Harden menambah, sekolah cemerlang dan berkesan diterajui pentadbir dan guru yang bersedia melakukan perubahan dengan kerjasama padu daripada ibu bapa.

Sejajar dengan usaha menghasilkan pendidikan berkualiti, sokongan dan kerjasama ibu bapa memainkan peranan penting untuk menjadikan sesebuah sekolah itu hebat dan berjaya.

“Sering kali pemimpin sekolah dan guru kurang berinteraksi dengan ibu bapa atau melihat hubungan tersebut sebagai bukan satu keutamaan.

“Ini sepatutnya tidak berlaku. Sekolah perlu lebih proaktif dalam membina hubungan dengan ibu bapa.

“Setiap isu sekolah perlu dibawa berbincang sama ada berkaitan program-program sekolah yang baharu atau tentang laporan perkembangan anak-anak mereka.

“Sehubungan itu pihak sekolah perlu mengambil kesempatan atas hubungan yang sedia ada untuk mewujudkan ‘chemistry’ antara pihak sekolah dengan ibu bapa.

“Ini membolehkan pihak sekolah menggunakan peluang-peluang yang sedia wujud untuk mendapatkan bantuan, sokongan dan kerjasama demi kebaikan sistem pendidikan di sekolah tersebut,” katanya.

Turut hadir Wali Kota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Anthony Abell Chendan, Pegawai Pendidikan (PPD) Lubok Antu Vivian Mujah, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Kwang Law, Guru Besar Sekolah Alfred Kendim, Yang Dipertua PIBG Tuai Rumah Julai @ Story Libau serta yang lain.

Pada majlis tersebut  Harden meluluskan geran kerajaan bagi tahun 2020 kepada PIBG SK Nanga Klassen berjumlah RM20,000 untuk membiayai kegiatan PIBG.

Advertisement