Anda di sini

13 pengusaha kantin mengaku tidak bersalah palsukan dokumen tender

Advertisement
 11 daripada 13 pengusaha kantin sekolah yang berdepan dakwaan pemalsuan dokumen untuk mendapatkan tender makanan bermasak, turut tampil bersama peguam masing-masing di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
PENDAKWAAN: 11 daripada 13 pengusaha kantin sekolah yang berdepan dakwaan pemalsuan dokumen untuk mendapatkan tender makanan bermasak, turut tampil bersama peguam masing-masing di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: 13 pengusaha kantin yang berdepan dakwaan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender makanan bermasak sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Mereka yang dibawa ke mahkamah terdiri daripada Afian Mohd Nasir, Junaidah Majin, Mohammad Ashpawi Mohd Yahya, Mohd Terus Megin dan Rosnizah Jamilide.

Serta, Abd Rahman Alimuddin, Janifer Balasat, Syah Rizal Basri, Rosainah Nusteh, Mohd Zain Becklono, Norafidah Palas, Noor Yussri Becklono dan Jonid Gunsalam.

Pengakuan tidak bersalah mereka direkodkan di hadapan Hakim Abu Bakar Atan menerusi 21 pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum dengan Seksyen 468 KK yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

 

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang terlibat di dalam pertuduhan-pertuduhan berkaitan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berikutan pengakuan tidak bersalah mereka, mahkamah memutuskan semua tertuduh supaya membayar deposit wang jaminan masing-masing, dengan tiga syarat tambahan.

Iaitu, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu samaada setiap dua atau tiga bulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan terhad kepada mahkamah (jika ada) serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Tarikh sebutan semula tertuduh, Afian, 50, yang berdepan tiga pendakwaan berkaitan tender makanan bermasak di SMK Pekan Kuala Penyu ditetapkan pada 22 April dengan wang jaminan RM20, 000 (deposit RM10, 000) dan seorang penjamin tempatan.

Pasangan suami isteri, Ashpawi, 50, dan Junaidah, 43, yang berdepan tiga pendakwaan berhubung tender makanan bermasak SK Timbang Kota Belud pula, turut ditetapkan pada 22 April untuk sebutan semula.

Kedua-duanya dikenakan wang jaminan RM10,000 setiap seorang iaitu deposit RM7, 000 terhadap Ashpawi dan RM5,000 untuk Junaidah dengan masing-masing seorang penjamin tempatan. 

Satu lagi pasangan suami isteri yang berdepan tiga pendakwaan, Terus, 48, dan Rosnizah, 30, juga dikenakan wang jaminan RM10, 000 setiap seorang dengan deposit RM8, 000 (Terus) dan RM5, 000 (Rosnizah).

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula Terus dan Rosnizah berkaitan tiga pendakwaan kes tender makanan asrama SMK Arshad Kota Belud pada 22 April.

Dua lagi tertuduh, turut melibatkan pasangan suami isteri, iaitu, Abd Rahman, 48, dan Janifer, 50, yang berdepan tiga pendakwaan kes makanan bermasak SMK Maktab Sabah Kota Kinabalu.

Sebutan semula kes mereka ditetapkan pada 22 April, manakala wang jaminan RM10, 000 setiap seorang (deposit RM8, 000-suami dan RM5, 000-isteri) serta seorang penjamin tempatan.

Dua rakan perniagaan, Syah Rizal, 43, dan Rosainah, 53, juga berdepan tiga pendakwaan kes tender makanan bermasak SMK Membakut Beaufort dan sebutan semula pada 23 April.

Pasangan suami isteri, Mohd Zain, 44, dan Norafidah, 36, serta adik kandung Mohd Zain, Noor Yussri, 26, diminta tampil di mahkamah pada 23 April untuk sebutan semula tiga kes pendakwaan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa berkaitan kes tender makanan bermasak di SMK Pekan Kudat, dengan ketetapan RM10, 000 wang jaminan untuk mereka secara berasingan.

Bagaimanapun, Mohd Zain perlu membayar deposit RM7, 000, sementara Norafidah dan Noor Yussri pula, masing-masing RM5, 000 dengan seorang penjamin tempatan.

Tarikh sebutan semula seorang lagi tertuduh, Jonid, 41, yang berdepan tiga pertuduhan kes tender makanan bermasak di SK Koromoko Kota Marudu, pula ditetapkan pada 27 April.

Pada masa sama, hakim memutuskan supaya Jonid dikenakan wang jaminan RM10, 000 dengan bayaran deposit RM6, 000 serta seorang penjamin tempatan.

Dalam sesi pembacaan kertas pertuduhan yang turut merekodkan pengakuan semua tertuduh juga, 11 tertuduh hadir dengan diwakili peguam, kecuali Rosainah dan Jonid.

Pendakwaan untuk kesemua kes terbabit dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Clement Severinus dan Mohd Faliq Basirudin.

  • oleh
  • Advertisement