Anda di sini

Perbicaraan Weinstein: Waktu penting skandal yang cetuskan #MeToo

Advertisement
 Peguam Gloria Allred memegang kertas yang menunjukkan keputusan mahkamah semasa sidang media di luar bangunan mahkamah di New York City selepas Weinstein dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 23 tahun pada 11 Mac lepas. Pada 11 Mac, Hakim James Burke menjatuhkan hukuman penjara selama 23 tahun ke atas Weinstein, hampir kepada hukuman maksimum penjara 29 tahun yang dibenarkan, selepas beliau menolak rayuan peguam bela untuk mengeluarkan hukuman minimum selama lima tahun. — Gambar AFP
HUKUMAN PENJARA: Peguam Gloria Allred memegang kertas yang menunjukkan keputusan mahkamah semasa sidang media di luar bangunan mahkamah di New York City selepas Weinstein dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 23 tahun pada 11 Mac lepas. Pada 11 Mac, Hakim James Burke menjatuhkan hukuman penjara selama 23 tahun ke atas Weinstein, hampir kepada hukuman maksimum penjara 29 tahun yang dibenarkan, selepas beliau menolak rayuan peguam bela untuk mengeluarkan hukuman minimum selama lima tahun. — Gambar AFP

HARVEY Weinstein dijatuhi hukuman penjara selama 23 tahun pada Rabu lepas kerana kesalahan melakukan serangan seksual dan rogol, selepas dua tahun setelah cerita-cerita dahsyat mengenai salah laku seksual taikun filem yang aib itu mula muncul.

Di bawah adalah waktu-waktu penting dalam kes berprofil tinggi itu, yang menandakan titik perubahan bagi pergerakan #MeToo.

- 2017: SKANDAL MELETUS -

Akhbar The New York Times menerbitkan satu laporan siasatan yang menggemparkan dan memaparkan banyak gangguan seksual dalam rekod serta tuduhan serangan oleh Weinstein dalam tempoh hampir tiga dekad.

Dua aktres Ashley Judd dan Rose McGowan merupakan dua penuduh berprofil paling tinggi.

The Times mendedahkan Weinstein mencapai perjanjian tanpa pendedahan sebagai pertukaran untuk wang dengan sekurang-kurangnya lapan wanita, untuk menjamin kesenyapan mereka.

Weinstein memohon maaf kerana menyebabkan “keperitan” tetapi tetap menafikan dakwaan, beberapa hari sebelum lembaga The Weinstein Company menyingkirkannya.

Pembuat filem dan aktres Itali Asia Argento memberitahu akhbar The New Yorker bahawa Weinstein merogolnya pada 1997. Dua wanita lain turut menuduhnya melakukan serangan seksual.

Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie dan Rosanna Arquette menyertai senarai wanita yang menuduh Weinstein melakukan gangguan, tetapi Weinstein masih juga menafikan semua dakwaan.

Celebriti Hollywood lain dan lelaki dari industri lain menjadi tumpuan apabila pergerakan #MeToo yang baharu tumbuh dan membantah serangan seksual menjadi semakin hangat.

Pada 14 Oktober, lembaga gabenor ‘Motion Picture Academy of Arts and Sciences’, institusi yang menyampaikan anugerah Oscar, mengundi untuk menyingkirkan Weinstein, yang menerbitkan filem-filem yang memenangi puluhan Anugerah Akademi sekian lama.

- 2018: WEINSTEIN DIDAKWA -

Dituduh bersikap sambil lewa, pendakwa raya di New York mendakwa Weinstein atas tuduhan merogol dalam darjat pertama dan darjat ketiga.

Pendakwaan itu berpunca daripada kes rogol Jessica Mann pada 2013, yang hanya didedahkan identitinya selepas dia memberikan keterangan.

Weinstein didakwa di sebuah mahkamah Manhattan selepas dia menyerah diri kepada polis di tengah-tengah kerumunan kamera televisyen dan jurugambar.

Peguam bela ketika itu Ben Brafman berjaya mendapatkan ikat jamin sebanyak AS$1 juta untuk Weinstein.

Pada 2 Julai, pihak pendakwaan menambah tiga tuduhan baharu berhubung perbuatan seksual “yang dilakukan dengan paksaan” pada Julai 2006 ke atas pembantu penerbitan Mimi Haleyi.

- 2019: KETERANGAN BAHARU -

Pada 26 Ogos, pendakwa raya memfailkan pendakwaan baharu yang membolehkan aktres Annabella Sciorra, paling terkenal bagi filem aksi pada 1992 ‘The Hand That Rocks the Cradle’, selain beberapa episod siri terbitan HBO ‘The Sopranos’, untuk memberikan keterangan sebagai seorang saksi sokongan.

Sciorra mendakwa Weinstein merogolnya pada musim salji 1993-94 di Manhattan. Kesnya terlalu tua untuk dijalankan tetapi pendakwa berharap buktinya dapat membantu meyakinkan juri bahawa Weinstein adalah seorang pemangsa seks.

Perbicaraan, pada asalnya dijadualkan pada September, ditangguhkan ke 6 Januari 2020.

Pendakwaan baharu dibuat selepas Weinstein pada Julai melantik peguam Chicago, Donna Rotunno, untuk mengetuai pembelaan, selepas dia memecat Brafman pada Januari.

Sebulan sebelum perbicaraan bermula, laporan menyebut Weinstein telah mencapai penyelesaian AS$25 juta dengan lebih 30 aktres yang menuduhnya melakukan kesalahan seksual, dalam kes sivil yang tidak ada kaitan dengan perbicaraan jenayahnya.

Di bawah perjanjian itu, Weinstein tidak perlu mengaku sebarang kesalahan.

- 2020: PENSABITAN BERSALAH -

Juri New York pada 24 Februari lalu mensabit kesalahan ke atas Weinstein atas dua tuduhan melakukan serangan seksual dan rogol, yang dialu-alukan oleh pergerakan #MeToo sebagai satu kemenangan bersejarah yang memulakan “era keadilan baharu” untuk mangsa.

Ia dibuat selepas perbicaraan selama tujuh minggu di mana ahli juri mendengar keterangan yang emosional dan sensasi dari wanita yang menuduhnya melakukan segalanya daripada rogol ganas dan penderaan hingga kepada keaiban dan mensabotaj karier mereka.

Mann – mangsa yang menyebabkan Weinstein disabit kesalahan atas tuduhan merogol darjat ketiga – menangis tanpa henti-henti sewaktu disoal,  apabila pihak pembelaan berusaha untuk membuktikan hubungannya dengan penerbit filem itu dijalin berdasarkan rasa suka sama suka.  

Sambil menitiskan air mata, Haleyi – yang memberikan keterangan yang menyaksikan Weinstein disabit kesalahan bagi satu perbuatan seksual jenayah darjat pertama – menceritakan dengan begitu terperinci bagaimana eksekutif itu “memaksa dirinya ke atas saya dari segi oral” ketika dia datang haid.

Rotunno berkata pendakwa raya telah mewujudkan “alam semesta alternatif” dan menggambarkan anak guamnya dengan salah sebagai “raksasa”. Selepas keputusan diumumkan, peguam wanita itu berikrar untuk merayu pensabitan terhadap Weinstein.

Pada 11 Mac, Hakim James Burke menjatuhkan hukuman penjara selama 23 tahun ke atas Weinstein, hampir kepada hukuman maksimum penjara 29 tahun yang dibenarkan, selepas beliau menolak rayuan peguam bela untuk mengeluarkan hukuman minimum selama lima tahun. — AFP

Advertisement