Anda di sini

COVID-19: Tiada kebaktian, aktiviti di gereja-gereja Roman Katolik di Sarawak buat sementara waktu

Advertisement
 

KUCHING: Gereja-gereja Roman Katolik di Sarawak tidak mengadakan kebaktian dan aktiviti-aktiviti bermula hari ini, bukan 20 Mac seperti dilaporkan sebelum ini, sehingga 3 April depan.

Uskup Agung Simon Poh (gambar) dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga selepas Sarawak terus mencatatkan peningkatan jumlah kes COVID-19.

Beliau menambah ia merupakan maklum balas kepada arahan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini, iaitu semua perhimpunan kerajaan dan awam melibatkan lebih 50 peserta ditangguhkan.

"Semua perhimpunan berskala besar dan kebaktian yang dijadual pada petang ini dan pada minggu akan datang akan ditangguh. Kita akan melakukan bacaan firman Tuhan, doa dan komuni rohani sepanjang tempoh ini," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa semua ahli kariah mematuhi garis panduan ditetapkan pihak berkuasa kerajaan, menjaga kesihatan dan mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa.

Setakat ini, Sarawak mencatatkan 20 kes selepas 11 kes baharu direkodkan hari ini.

Timbalan Ketua Menteri  Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kenyataannya hari ini berkata daripada 11 kes berkenaan lapan di Miri dan satu masing-masing di Kuching, Bintulu dan Sarikei.

"Manakala lapan kes di Miri mempunyai hubungan dengan kluster jemaah yang menghadiri tabligh Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur. Kami masih mengenal pasti punca kes-kes di Kuching, Sarikei dan Bintulu. Jabatan Kesihatan Negeri masih mengenal pasti puncanya," katanya.

Selain itu sebagai langkah berjaga-jaga juga, Kerajaan Negeri Sarawak mengarahkan penganjuran semua majlis kerajaan dan awam melibatkan lebih 50 peserta ditangguhkan.

Ia merupakan dasar terkini Kerajaan Sarawak berhubung penuilaran COVID-19 global ketika ini.
 

  • oleh
  • Advertisement