Anda di sini

Lelaki cuba cabul gadis dipenjara enam bulan

Advertisement

SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang lelaki berusia 50 tahun yang cuba mencabul kehormatan seorang gadis.

Majistret Muhammad Faizal Che Saad menjatuhkan hukuman itu setelah menerima pengakuan bersalah tertuduh, Umul Gumbang, yang diperintah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Umul didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa berusia 19 tahun di tepi Lorong Jade Villa 1, pada 8 Mac, 2020 kira-kira jam 5.50 pagi.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman terbabit.

Fakta kes menyatakan pada hari kejadian, mangsa yang bekerja sebagai juruwang dalam perjalanan pulang ke rumah apabila diekori seorang lelaki yang dikenali sebagai tertuduh.

Tertuduh tiba-tiba memegang bahu serta cuba memeluk mangsa, namun mangsa berjaya menolak serta memberi amaran kepada tertuduh, menyebabkan dia lari.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada hari yang sama kira-kira jam 4.15 petang.

Advertisement