Anda di sini

Covid-19: Seramai 235 rakyat Sarawak sertai acara agama di Kuala Lumpur berjaya dijejaki

Advertisement
 

KUCHING: Seramai 235 warga Sarawak yang menghadiri acara agama di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur baru-baru ini telah dikuarantin dan dimasukan ke hospital bagi memeriksa tahap kesihatan mereka.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri bahawa mereka berjaya menjejaki sekumpulan peserta berkenaan.

"Dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berjaya menjejaki seramai 235 peserta (yang kini dimasukan ke hospital bagi Orang Yang Disyaki-PUI kes atau kuarantin) dari seluruh Sarawak, yang mengadiri acara di Masjid Seri Petaling.

"Kemungkinan ada lagi 200 lebih warga Sarawak yang menyertai acara itu perlu menjalani siasatan lanjut Covid-19 dengan segera," katanya menerusi catatan dalam Facebook beliau, hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, menggesa rakyat Sarawak untuk membantu menjejaki mereka yang menghadiri acara agama antarabangsa di Masjid Seri Petaling di Selangor dari 27 Februari hingga 1 Mac lepas untuk siasatan COVID-19.

Jawatankuasa mendedahkan bahawa kira-kira 500 warga Sarawak menghadiri acara tersebut dan dengan itu menggesa setiap mereka yang menghadiri acara itu atau mengetahui sesiapa antara peserta untuk menghubungi hospital kerajaan terdekat atau pejabat kesihatan daerah.

Orang ramai mempunyai maklumat diperlukan boleh menghubungi: 082-443248 (Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis Sarawak), 082-276666 (Hospital Umum Sarawak), 085-420033 (Hospital Miri), 086-255899 (Hospital Bintulu) dan 084-343333 (Hospital Sibu). 

Selain itu, orang ramai boleh menghubungi pusat kesihatan daerah di Kota Samarahan ditalian 082-672101, Serian (082-872331), Sri Aman (083-320230), Betong (083-472388), Sarikei (084-652815), Mukah (084-873392), Kapit (084-796264) dan Limbang (085-211726).

  • oleh
  • Advertisement