Anda di sini

Bukan saksi yang sedang dibicarakan, kata hakim kes rasuah Rosmah

Advertisement
 Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi semalam pada prosiding perbicaraan hari ke-14 kes rasuahnya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. — Gambar Bernama
HADIRI PROSIDING: Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi semalam pada prosiding perbicaraan hari ke-14 kes rasuahnya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar hibrid, semalam menegur tindakan seorang peguam ‘menekan’ bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Seri Alias Ahmad yang memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut mengingatkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu bahawa bukan saksi tersebut yang sedang dibicarakan.

“Bukan dia (Alias) yang dibicarakan,” katanya.

Hakim memberi teguran itu selepas Akberdin yang sedang menyoal balas Alias mendakwa saksi pendakwaan ke-12 tersebut mempunyai kepentingan dalam projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion itu.

Terdahulu, Akberdin menyentuh mengenai tindakan Alias menghubungi bekas Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan (MOF) Datuk Othman Semail secara peribadi bagi meminta supaya permohonan KPM untuk mendapatkan kelulusan bagi pembayaran pendahuluan sebanyak RM130 juta untuk pelaksanaan projek solar hibrid, diteruskan.

Akberdin: Selepas terima surat bertarikh 19 April 2017 dari MOF, saya cadangkan kamu ada memanggil sendiri Datuk Othman meminta jasa baiknya untuk luluskan permohonan KPM untuk mendapatkan pembayaran pendahuluan (projek solar) sebanyak RM130 juta.

Alias: Mengenai call dia (Othman) saya setuju tetapi saya cakap tentang hal lain bukan tentang RM130 juta.

Akberdin: Saya cadangkan respons Datuk Othman terhadap permintaan kamu ialah dia berpegang kepada surat tersebut, dia tidak boleh layan permintaan kamu sebab tidak ikut peraturan.

Alias: Tidak setuju.

Akberdin: Saya cadangkan, kamu ambil extra effort dan inisiatif sampai call Othman sebab kamu ada kepentingan dalam projek (solar hibrid) ini.

Alias: Tidak setuju.

Pada prosiding sebelum ini, bekas Setiausaha Bahagian (SUB) di Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset KPM, Kamarudin Abdullah memberitahu mahkamah bahawa surat bertarikh 19 April 2017 itu adalah surat MOF kepada KPM yang menyatakan permohonan KPM untuk mendapatkan kelulusan bagi pembayaran pendahuluan sebanyak RM130 juta bagi pelaksanaan projek solar hibrid tersebut sedang disemak dan diteliti oleh pihaknya.

Menurut Kamarudin, MOF menerusi surat itu turut berpandangan bagi mempercepat proses pembayaran, KPM perlu mengambil tindakan seperti mematuhi tatacara dan peraturan kewangan selain perlu menyegerakan proses menandatangani kontrak perolehan dengan kontraktor projek solar tersebut, Jepak Holdings Sdn Bhd dengan kadar segera.

Alias memberi keterangan pada perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan bersambung 6 April depan. — Bernama

Advertisement