Anda di sini

Anugerah Bollywood IIFA dibatalkan

Advertisement
 Gambar yang diambil pada 4 Mac 2020 ini menunjukkan pelakon Bollywood (dari kiri) Dia Mirza, Kartik Aaryan dan Katrina Kaif menghadiri sidang media IIFA di Mumbai. Bollywood baru-baru ini mengumumkan bahawa acara anugerah IIFA telah dibatalkan kerana “sensitiviti” krisis kesihatan yang semakin meningkat. — Gambar AFP
DIBATALKAN: Gambar yang diambil pada 4 Mac 2020 ini menunjukkan pelakon Bollywood (dari kiri) Dia Mirza, Kartik Aaryan dan Katrina Kaif menghadiri sidang media IIFA di Mumbai. Bollywood baru-baru ini mengumumkan bahawa acara anugerah IIFA telah dibatalkan kerana “sensitiviti” krisis kesihatan yang semakin meningkat. — Gambar AFP

BOLLYWOOD telah membatalkan malam acara bagi Anugerah Akademi Filem India Antarabangsa (IIFA) kerana koronavirus yang sedang merebak.

Penganjur acara anugerah terbesar dalam dunia perfileman India itu berkata mereka terpaksa menundakan acara selama tiga hari itu di Indore bermula 27 Mac kerana “sensitiviti” krisis kesihatan yang semakin meningkat.

Nama terbesar di Bollywood termasuk Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Katrina Kaif dijadual menghadiri gala tersebut di mana ‘Gully Boy’, sebuah filem yang ‘hit’ pada peringkat antarabangsa mengenai seorang penyanyi rap di Mumbai, merupakan filem pilihan utama untuk memenangi beberapa anugerah utama.

Penganjur menyebut dalam satu kenyataan bahawa keputusan untuk membatalkan acara itu dibuat “dengan mengambil kira kebimbangan yang semakin meningkat” mengenai penularan COVID-19, selain menjaga kesihatan dan keselamatan peminat dan masyarakat umum.

“Tarikh baharu dan rancangan untuk menganjurkan IIFA di Madhya Pradesh akan diumumkan seawal mungkin,” tambahnya.

Dengan hampir 1,800 filem yang dikeluarkan pada 2018, India memiliki industri perfileman terbesar di dunia dari segi filem yang dibuat dan kini merupakan pengeksport penting.

Selepas menggunakan tempat di beberapa negara dan bandar raya lain di India, IIFA 2019 kembali ke ibu kota Bollywood di Mumbai.

Namun kerajaan sudah memberi amaran untuk tidak mengadakan perhimpunan besar-besaran kerana virus berkenaan, yang sudah menjangkiti 30 orang di India setakat ini.

Banyak persidangan, perayaan untuk festival keagamaan Holi dan acara awam sudah dibatalkan sejak beberapa hari lalu. — AFP

Advertisement