Anda di sini

Seorang lelaki positif COVID-19 di Tawau

Advertisement
NAVINDRAN
NAVINDRAN

TAWAU:  Seorang lelaki di sini yang menyertai perhimpunan jemaah tabligh di Kuala Lumpur, disahkan positif COVID-19.

Suspek dipercayai seorang daripada anggota jemaah tabligh yang mengikuti perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling, di ibu kota, baru-baru ini.

Mangsa dipercayai kes pertama positif COVID-19 di Sabah.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. G. Navindran, berkata pengumuman rasmi mengenai pengesahan itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan di Kuala Lumpur.

"Buat masa ini pihak Hospital Besar Tawau mengambil tindakan drastik untuk mengawal supaya wabak ini tidak merebak dan menular di daerah Tawau," katanya.

Navindran menasihatkan supaya masyarakat Tawau tidak panik kerana pihak hospital sentiasa mengawal keadaan kesihatan di daerah ini dan meminta supaya semua orang menjaga kebersihan, memakai penutup muka sekiranya di tempat ramai dan elak berjabat tangan.

"Kepada yang berisiko terutama orang tua dan kanak-kanak supaya jangan terlalu banyak bergerak di luar rumah kerana golongan ini sangat berpotensi untuk dijangkiti penyakit," katanya.

Mengulas mengenai jemaah tabligh yang dipanggil membuat ujian saringan, beliau berkata, setakat ini seramai 120 orang sudah berjaya dihubungi di daerah Tawau dan sekitarnya untuk membuat ujian saringan.

"Kita masih lagi menjejaki baki jemaah ini yang menghadiri ijtimak di Kuala Lumpur untuk segera menghubungi pihak Kesihatan Tawau membuat ujian saringan itu," katanya.

  • oleh
  • Advertisement