Anda di sini

Pengedar dadah warga asing ditangkap bersama syabu 52.36 gram

Advertisement
 Kedua-dua suspek yang ditangkap dalam serbuan tersebut.
SUSPEK: Kedua-dua suspek yang ditangkap dalam serbuan tersebut.

TAWAU: Polis memberkas seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah membawa syabu seberat 52.36 gram di sekitar kawasan kebun kelapa sawit Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar, di sini semalam.  

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata tangkapan dibuat semasa sepasukan anggota polis dari Balai Bombalai, PPK Merotai/Brumas dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Tawau membuat serbuan di lokasi tersebut.

"Semasa serbuan dilakukan anggota kita mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan disyaki pengedar dadah paling aktif di kasawan tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Peter berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri dan membuang satu bungkusan plastik dipercayai berisi syabu ke dalam semak untuk mengelak kegiatannya dikesan.

"Anggota polis terpaksa bergelut untuk menghalang suspek daripada melarikan diri dan tindakannya untuk menghilangkan barang kes juga gagal selepas suspek berjaya ditahan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan yang dibawanya mendapati beberapa paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu. 

 Barang kes dadah jenis syabu yang dirampas daripada pengedar dadah terbabit.
RAMPASAN: Barang kes dadah jenis syabu yang dirampas daripada pengedar dadah terbabit.

"Anggaran berat kasar rampasan dadah tersebut seberat 52.36 gram dan kes tersebut disiasat mengikut  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori," katanya.

Dalam serbuan yang sama anggota polis turut  berjaya menangkap seorang lelaki  disyaki penagih dadah dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan tersebut dan disiasat mengikut  Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Kedua-dua suspek juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan dokumentasi dilakukan dan kesemua mereka dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tawau untuk tindakan selanjutnya.

  • oleh
  • Advertisement