Anda di sini

Memandu mabuk: Pemandu teksi dipenjara lapan bulan, denda RM2,000

Advertisement
"Anuar Mohd Sabir, 57, membuat pengakuan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan"
"Anuar Mohd Sabir, 57, membuat pengakuan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan"

TAWAU: Seorang pemandu teksi dikenakan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Anuar Mohd Sabir, 57, membuat pengakuan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan.

Mahkamah juga turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Anuar didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3 Jalan Apas, kira-kira jam 1.15 pagi pada 2 Disember lalu.

Kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33/87) jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM6,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakil peguam.

Terdahulu, Joan dalam hujahnya menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan sahaja di daerah ini malah di seluruh negara.

Tertuduh sebagai pemandu teksi membawa penumpang dalam keadaan mabuk bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain.

Oleh itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

  • oleh
  • Advertisement