Anda di sini

Industri Hollywood terganggu dengan kehadiran koronavirus

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 27 Februari 2020 ini menunjukkan seorang wanita memakai topeng muka di tengah-tengah kebimbangan novel koronavirus  COVID-19 berdiri di hadapan poster filem baharu James Bond, ‘No Time to Die’ di Bangkok. Tayangan filem baharu James Bond ditangguhkan, studio-studio membatalkan festival filem manakala produksi filem blokbuster ditutup berikutan kebimbangan penularan virus COVID-19. — Gambar AFP
DITANGGUHKAN: Gambar fail bertarikh 27 Februari 2020 ini menunjukkan seorang wanita memakai topeng muka di tengah-tengah kebimbangan novel koronavirus COVID-19 berdiri di hadapan poster filem baharu James Bond, ‘No Time to Die’ di Bangkok. Tayangan filem baharu James Bond ditangguhkan, studio-studio membatalkan festival filem manakala produksi filem blokbuster ditutup berikutan kebimbangan penularan virus COVID-19. — Gambar AFP

FILEM James Bond baharu ditangguhkan. Studio membatalkan festival filem. Penerbitan ‘blockbuster’ ditutup.

Hollywood sedang digegarkan oleh cabaran yang luar biasa daripada koronavirus baharu, kata orang dalam kepada AFP.

“Saya tidak pernah melihat keadaan di mana filem sebanyak ini akan terjejas pada satu masa,” kata Jeff Bock, penganalisis kanan di Exhibitor Relations.

“Terdapat tragedi atau insiden terpencil yang berlaku dan mungkin menjejaskan filem tertentu. Tetapi ini benar-benar menjejaskan seluruh industri dari atas hingga bawah.”

Anggaran industri meletakkan kerugian kewangan disebabkan oleh pawagam yang sudah ditutup di Asia pada tahun ini sekitar AS$2 bilion.

Filem-filem tajuk utama Hollywood termasuk ‘Mulan’ – filem ‘blockbuster’ aksi hidup terbitan Disney dengan penggambaran di China – telah ditangguhkan di China.

Penangguhan global pada minit akhir bagi filem aksi 007 ‘No Time To Die’, termasuk pengeluarannya di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, mengetengahkan impak virus itu yang tidak mengenal sempadan.

Buat masa sekarang, jumlah penonton di pawagam AS adalah stabil walaupun ada kebimbangan mengenai penularan jangkitan, dan ‘Mulan’ masih dijadual akan dilancarkan pada bulan ini di Amerika Utara.

Tetapi wabak koronavirus baharu di California dan New York, dan beberapa kematian di negeri Washington, dapat menjejaskan resit.

“Kita akan melihat sedikit kejatuhan pada minggu ini – pada waktu ‘Mulan’ keluar, jika ini menular dengan teruk seperti apa yang berlaku di China, ia akan mengubah seluruh landskap,” kata Bock.

Sementara itu, pembeli besar-besaran termasuk Netflix, Amazon dan Apple sudah menarik diri daripada festival SXSW di Texas – sebuah pasar yang penting untuk filem-filem.

Impak tidak hanya terbatas kepada studio besar sahaja.

Stephen Nemeth, yang menerbitkan ‘Fear and Loathing in Las Vegas’ (1998) lakonan Johnny Depp, mempunyai satu lagi filem bertemakan Hunter S. Thompson yang akan mengadakan tayangan perdana dunia di festival Austin itu.

“Kami akan meneruskannya,” katanya kepada AFP. “Kami ada sebuah pawagam 1,100 tempat duduk ... itu adalah tempat duduk yang banyak untuk diisi jika kapasiti hanyalah 25 peratus sahaja di festival itu.”

 Gambar yang diambil pada 10 Disember 2019 menunjukkan Dwayne Johnson bercakap di acara ‘Kevin Hart’s Hand and Footprints’ di Hollywood, California. Netflix sedang mencari lokasi alternatif untuk membuat penggambaran bagi sebahagian filem baharu Dwayne Johnson ‘Red Notice’ yang dijadualkan difilemkan di Itali. — Gambar AFP
TUKAR LOKASI PENGGAMBARAN: Gambar yang diambil pada 10 Disember 2019 menunjukkan Dwayne Johnson bercakap di acara ‘Kevin Hart’s Hand and Footprints’ di Hollywood, California. Netflix sedang mencari lokasi alternatif untuk membuat penggambaran bagi sebahagian filem baharu Dwayne Johnson ‘Red Notice’ yang dijadualkan difilemkan di Itali. — Gambar AFP

Lebih 50,000 orang sudah menandatangani petisyen dalam talian untuk menuntut agar SXSW dibatalkan.

Sementara penganjur menegaskan ia tetap akan diteruskan, laporan mengenai penarikan berprofil tinggi selanjutnya termasuk Warner Bros dan CNN telah menyemai keraguan.

“Saya tidak menjangkakan pembeli kerana saya rasa pembeli tidak akan ramai,” kata Nemeth, yang berpendapat filemnya ‘Freak Power’ kini lebih berkemungkinan akan dijual menerusi tayangan persendirian di Hollywood.

“Saya tidak pasti sama ada SXSW tetap akan diadakan ataupun tidak,” tambahnya.

Perhimpunan filem lain termasuk CinemaCon di Las Vegas, dan festival filem Cannes, sedang diteliti.

Penerbitan filem juga terjejas.

Satu jadual penggambaran selama tiga minggu untuk filem baharu ‘Mission Impossible’ yang dibintangi Tom Cruise di Itali – salah sebuah negara paling teruk terjejas – dihentikan pada bulan lepas.

Paramount menghentikan penggambaran filem itu kerana “peringatan yang tinggi bagi keselamatan dan kesejahteraan barisan pelakon dan kru kami”.

Netflix sedang mencari lokasi alternatif untuk membuat penggambaran bagi sebahagian daripada filem baharu Dwayne Johnson ‘Red Notice’ yang dijadualkan difilemkan di Itali.

“Apa yang ia lakukan ialah menguji pengurus lokasi untuk menjadi penyelesai masalah yang amat lincah sekali,” kata Paul Dergarabedian, penganalisis kanan Comscore, yang memberitahu pekerja penerbitan “merupakan golongan yang kuat dan berdaya cipta”.

Namun lojistik penggambaran di mana-mana sahaja – terutamanya penerbitan yang memerlukan ratusan pelakon dan watak tambahan – membuatkannya kelihatan seperti satu saranan yang berisiko buat masa sekarang, kata Nemeth.

“Saya tidak mengesali pelakon yang tidak mahu meneruskan pembabitan dengan sesebuah filem,” katanya. “Setiap filem adalah kampung kecilnya sendiri.”

“Mereka adalah orang yang makan bersama, menunggu dalam barisan yang sama di trak makan tengah hari yang sama.

“Kita ada begitu ramai sekali orang dalam kawasan terhad.”

Sebarang sekatan dalam saluran paip penerbitan filem yang tidak putus-putus boleh menyebabkan kekurangan filem di hadapan.

“Semakin lama ia berlaku, semakin sedikit filem yang kita akan buat untuk 2021, 2022,” kata Bock.

“Ini memiliki potensi untuk benar-benar melumpuhkan industri perfileman semakin lama ia berlaku.” — AFP

Advertisement