Anda di sini

Bomoh: Siapa yang percaya mereka

Advertisement
"Perkhidmatan bomoh boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah dalam masyarakat, seperti penyakit, sihir gangguan, kehilangan barang, malang, dan sebagainya seperti apa yang di sindir oleh penyanyi Hang Moktar"
"Perkhidmatan bomoh boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah dalam masyarakat, seperti penyakit, sihir gangguan, kehilangan barang, malang, dan sebagainya seperti apa yang di sindir oleh penyanyi Hang Moktar"
 Keris perlu dimandikan dengan limau dan diasapkan dengan kemian serta dibalut dengan kain kuning atau hitam dan disimpan di tempat yang selamat.
KERIS: Keris perlu dimandikan dengan limau dan diasapkan dengan kemian serta dibalut dengan kain kuning atau hitam dan disimpan di tempat yang selamat.

BOMOH atau dukun adalah istilah yang secara amnya difahami dalam erti orang yang mempunyai kelebihan dalam segi kebolehan ghaib. Dia boleh memahami mata kasar dan boleh berkomunikasi dengan semangat dan alam ghaib.

Adakah sistem kepercayaan tradisional bomoh terutamanya dalam bidang perubatan, 'pemanis' atau 'jimat untuk jaga badan' masih lagi popular dalam masyarakat Malaysia?

Bagaimana ia berfungsi dan berperanan dalam masyarakat hari ini? Hehe! Saya teringat pula lagu jenaka penyanyi Hang Moktar yang bertajuk 'Bomoh' yang mengilustrasikan seperti berikut.

Percaya atau tidak, lirik lagu 'Bomoh' serba sedikit memberi bayangan tentang perkhidmatan seorang bomoh.

Dalam amalan masyarakat orang asal Sabah, terutama di luar bandar, seorang ahli perubatan tradisional juga dikenali sebagai bomoh dan dianggap sebagai orang yang boleh juga mengubati masalah-masalah jiwa. Malah diterima sebagai doktor atau pengubat isu-isu kerohanian.

Bomoh selalunya dianggap sebagai nadi penting bagi integrasi sistem pemegangnya dan amalan yang berbilang aspek dalam kalangan penduduk yang terpencil dan masih berpegang pada cara-cara tradisional yang di turun oleh nenek moyang atau guru mereka sebelum penjajahan Inggeris.

Gabungan pengaruh amalan agama Islam, Tuapekong (atau Taoist Cina) dan penduduk tempatan dilihat dalam pegangan dan amalan-amalan mereka. Semua ini menjadi satu dan bertindak sebagai satu entiti.

Perkhidmatan bomoh boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah dalam masyarakat, seperti penyakit, sihir gangguan, kehilangan barang, malang, dan sebagainya seperti apa yang di sindir oleh penyanyi Hang Moktar.

Istilah ini biasanya digunakan di kawasan luar bandar, manakala bomoh yang juga di panggil 'orang pandai' atau psikik, lebih banyak digunakan di kalangan penduduk bandar.

Penerimaan awam dari segi orang pintar biasanya lebih positif daripada penggunaan istilah bomoh walaupun kesamaan dari segi bantuan yang diberikan.

Bomoh dalam erti kata asalnya tidak dibezakan dari istilah 'orang pintar', memainkan peranan penting dalam masyarakat. Kewujudan rawatan perubatan dan kesihatan moden, tidak perlu mengecualikan kewujudan alternatif rawatan melalui bomoh.

Rawatan penyakit bukan dengan rawatan perubatan masih diamalkan dan masih menjadi pilihan utama rakyat kerana ia lebih murah dan lebih mudah.

Di pedalaman Sabah seperti Pensiangan, Long Pasia atau pun di Pitas, bomoh yang membantu menyembuhkan 'penyakit' masih diperlukan dan dihormati di dalam masyarakat.

Mereka mempunyai peranan sosial yang agak penting. Selalunya 'pesakit' yang datang 'untuk berubat' bukan hanya terhad dari pedalaman, tetapi juga dari luar kampung atau dari bandar.

Dua puluh tahun yang lalu saya pernah lihat seorang bekas menteri kanan Persekutuan berkunjung ke rumah pakcik bomoh di Kg Topokon Tamparuli untuk sesuatu perkara yang penting. Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Hang Moktar.

Di samping peranan pentingnya, kewujudan bomoh sering kontroversial juga.

Beberapa sesi temu bual dengan para pemimpin agama di Singapura pernah menggambarkan dilema mereka dalam usaha menghuraikan isu-isu kecenderungan masyarakat orang asal kepada para pengamal ilmu sihir ini serta amalan-amalan mereka yang berakar umbi dalam sistem budaya Melayu.

Emosi berapi-api dapat dilihat daripada pada pemimpin agama semasa membincangkan topik ini.

Kadang-kadang dapat diperhatikan, melalui penggunaan kuasa bomoh diperoleh dari sumber-sumber yang tidak terlihat sebagai cara alternatif untuk mencapai kehendak dan tujuan peribadi, yang mungkin tidak dibenarkan oleh agama.

Saya percaya amalan ini berlaku di seluruh Sabah, dan di seluruh Malaysia demi strategi yang digunakan untuk mendapatkan kedudukan tertinggi dalam masyarakat. Barang-barang yang dikehendaki melalui kuasa kekuatan supernatural, termasuk keinginan untuk memperbaiki politik sosial, mencapai kuota perdagangan dan tujuan, kerja-kerja kemajuan, pendidikan, kemuliaan, kesehatan, dan percintaan.

Bomoh juga sering dijemput untuk menjalani aktiviti berikut untuk kebahagiaan:

Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri. Upacara ini biasanya dilakukan oleh guru pelatih pertahanan diri yang juga bomoh yang dilakukan sehingga pelatih pelatihan pertahanan diri di arena tidak mendapat kecelakaan selama latihan.

Pak Puja Kubur - Puja kubur adalah sebahagian daripada amalan sesetengah orang Melayu yang masih tebal dengan adat istiadat dan tradisi Melayu kuno dengan agama Hindu puja Dewa. Mereka percaya
bahawa penghuni kubur itu boleh menghasilkan hajat mereka apabila diminta terutamanya apabila mereka berada di dalam kesulitan.

Kebiasaannya beberapa jenis makanan atau 'jamu' seperti ayam panggang, tihih, kelabu kuning, pisang emas dan lain lagi dibawa dan diletakkan di atas kubur itu sebagai jamuan untuk penghuni kubur itu, sebelum meminta sesuatu hajat, yang hakikatnya adalah untuk 'jamu' jin.

Saya rasa pelik juga .Yang jelas di sini saya berpendapat mereka telah tertipu dengan permainan jin yang mahu menyesatkan mereka.

Keris, Kemian dan Limau. Keris sering dikaitkan dengan latihan pertahanan diri, kekuatan, kemegahan dan kemasyhuran. Kebiasaannya banyak dari keluarga orang Melayu yang mempunyai atau menyimpan keris sebagai sebahagian daripada barang pusaka yang perlu diurus dan diurus dengan baik.

 Percaya atau tidak, ada penduduk di Sabah percaya air yang dijampi adalah ubat tradisional untuk memulihkan kesakitan badan.
AIR JAMPI: Percaya atau tidak, ada penduduk di Sabah percaya air yang dijampi adalah ubat tradisional untuk memulihkan kesakitan badan.

Keris berkenaan perlu dimandikan dengan limau dan diasapkan dengan kemian serta dibalut dengan kain kuning atau hitam dan di simpan di tempat yang selamat. Pemujaan keris ini selalunya di buat pada malam jumat dengan bacaan mentera dan jampi-jampi tertentu.

Pemujaan itu dilakukan dengan tujuan memelihara kekuatan keris, agar penjaga keris itu tidak menggangu keluarga mereka dan sebagainya. Sebenarnya keris itu tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana ia adalah besi semata-mata tetapi yang berperanan terhadap keris itu, sebenarnya adalah terdiri dari Jin yang menjadi khadam kepada keris itu.

Sesetengah orang asal Sabah mengenal pasti diri mereka sebagai kumpulan sesuatu agama dan mengamalkan ajaran dan kepercayaan agama sendiri, tetapi pada masa yang sama melibatkan diri dengan aktiviti yang berkaitan dengan sifat yang tidak dibenarkan oleh kepercayaan mereka.

Sebenarnya, bomoh sepanjang ini pun hidup dalam dilema. Pada satu sisi ia dilihat sebagai profesion yang 'kotor'. Tetapi di sisi lain sekurang-kurangnya mereka memainkan peranan yang dinamik dalam sistem hubungan sosial, budaya dan politik.

Bagi Pierre Bourdieu, seorang penulis terkenal dan ahli sosiologi Perancis yang menjadi rujukan secara bertulis, beliau menerima panggilan bomoh atau dukun sebagai modal kebudayaan yang dikumpulkan untuk menguasai masyarakat.

Mana-mana agama, percaya bahawa keselamatan, kesihatan dan nasib manusia sebenarnya telah ditentukan oleh Tuhan dan bukan kerana upacara penyembahan yang dibantu oleh bomoh. Tetapi ternyata masih ada orang yang percaya sehingga taksub dan terima kepada kuasa ibadat dan hal-hal ajaib yang menberi kebahagiaan mereka.

Sebagai anak kampung dari Tamparuli/Ranau/Kundasang saya sering lihat sesi perubatan melalui bomoh di kampung. Saya menghormati kepercayaan rohani mereka asalkan mereka tidak membahayakan sesiapa pun. Salam Damai!

Advertisement