Anda di sini

80 jemaah tabligh Tawau sudah dimaklumkan buat saringan COVID-19

Advertisement
 Jemaah tabligh membuat pemeriksaan saringan COVID-19.
PEMERIKSAAN: Jemaah tabligh membuat pemeriksaan saringan COVID-19.

TAWAU: Seramai 80 orang jemaah tabligh dari daerah ini yang hadir menyertai ijtimak di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur sudah dimaklumkan untuk membuat saringan COVID-19 bermula daripada hari ini (Khamis).

Syura' jemaah tabligh Tawau Bahar Lausin berkata, pihaknya sudah mendapat makluman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pengarah Hospital Besar Tawau berhubung dengan arahan itu.

"Semalam kita bermesyuarat dan mengarahkan semua jemaah yang sudah disenaraikan untuk membuat pemeriksaan itu seperti yang diarahkan oleh Pengarah Hospital Besar Tawau.

"Saya mendapat laporan lebih 50 jemaah yang sudah membuat pemeriksaan dan pendaftaran untuk diperiksa di Klinik Kesihatan Kubota sehingga hari ini," katanya.

Beliau berkata semua jemaah yang menyertai majlis ijtimak berkenaan ada dalam senarai pihaknya dan tidak wujud ura-ura yang mengatakan ada jemaah yang terlepas daripada membuat saringan itu.

"Walaupun pihak KKM hanya menggalakkan kepada mereka yang mempunyai simptom membuat pemeriksaan tetapi pihaknya tetap mewajibkan semua jemaah itu untuk melakukannya.

"Setakat ini, semua jemaah yang membuat saringan itu dilaporkan negatif, bagaimanapun terdapat jemaah yang dikuarantin selama 14 hari bermula dari tarikh mereka balik pada 1 Mac lalu," katanya.

Bahar juga meminta semua masyarakat tidak membuat spekulasi berkaitan jemaah tabligh kerana pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan setiap jemaahnya dan mendengar nasihat pihak KKM.

"Saya memohon sesiapa sahaja yang mahu mengetahui perkembangan jemaah dapat berhubung terus dengan saya ataupun berhubung dengan pihak Hospital Besar Tawau," katanya.

  • oleh
  • Advertisement