Anda di sini

Remaja dihantar ke Henry Gurney kerana mencederakan pekerja kedai

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja lelaki yang didakwa dengan sengaja mencederakan seorang pekerja ketika merompak sebuah kedai serbaneka dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Remaja berusia 19 tahun tersebut mengaku bersalah pada 12 Februari lalu, namun Hakim Marutin Pagan menetapkan hari ini untuk meneliti laporan sosial memandangkan tertuduh merupakan pesalah bawah umur. 

“Tertuduh, remaja bawah umur, dihantar ke Sekolah Henry Gurney untuk tiga tahun atau sehingga umurnya mencapai 21 tahun atau mana lebih pendek,” ujarnya pada prosiding kes berkenaan.

Tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap pekerja kedai tersebut ketika melakukan rompakan dengan bersenjatakan pisau. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 31 Ogos tahun lalu, kira-kira jam 4.30 pagi di sebuah kedai serbaneka di Matang. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 dan Seksyen 34 Kanun sama. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi. 

  • oleh
  • Advertisement