Anda di sini

Memburu sepit biru di air keruh

Advertisement
 Mamai berjaya menaikkan nanggalah sauh di spot Nabahan.
JENGGO: Mamai berjaya menaikkan nanggalah sauh di spot Nabahan.

KETIKA sampai di pekan Weston pagi Ahad, jarum jam menunjukkan tepat 7 pagi dan tekong Baem sudah lama menunggu di jeti nelayan.

Selepas membeli kuih dan nasi bungkus di kaki lima bangunan kedai lama Weston untuk bekalan, kami bergegas menuju ke jeti dan disambut tekong Baem.

Air sungai mulai surut dan kelihatan beberapa buah perahu sudah berlabuh dekat pohon nipah di seberang berhadapan jeti.

Menurut tekong Baem, sejak musim kemarau sepit biru semakin galak meliggan umpan dan beberapa hari lepas, ramai pemancing mendapat hasil lumayan dan menaikkan banyak jenggo sepit biru dan nanggalah sauh.

Tanpa berlengah tekong Baem menghidupkan enjin sangkut meninggalkan jeti nelayan dan membawa kami ke lubuk pertama sungai Nabahan.

Sungai Nabahan yang bersambung dengan sungai Padas kelihatan sedikit kabut dan sesekali kedengaran suata monyet Belanda@Probocis Monkey dari balik pokok nipah dan pokok kelip-kelip.

Probocis Monkey dan kelip-kelip merupakan tarikan pelancong ke Weston Wetland Park di mana setiap lewat petang beberapa buah perahu besar yang sarat dengan pelancong kelihatan mendekati lokasi monyet Belanda selalu bermain.

Tekong Baem merapatkan perahu berhampiran pokok nipah dan mengikat tali sementara Mamai melabuhkan sauh ke dalam sungai.

Satu demi satu joran yang sedia berumpan kami labuhkan sambil mengharapkan sepit biru mega memakan umpan.

Tidak lama menunggu, joran Mamai yang baru dilabuh melentur dan seekor sepit biru 550gm berjaya dinaikkan dikuti Baem mendaratkan nanggalah sauh 600gm.

 Pak Chad dengan hasil pertama di spot Nipah.
NANGGALAH SAUH: Pak Chad dengan hasil pertama di spot Nipah.

Penulis yang duduk di tengah juga tidak mengalah turut menarik naik sepit biru berskala 500gm.

Selepas lebih sejam dilubuk pertama, tekong Baem membawa kami ke lubuk kedua berhampiran kebun kelapa sawit.

Tanpa berlengah kami melabuhkan umpan dan Mamai yang duduk di depan perahu sekali lagi mendahului bertarung dengan seekor ikan Baung skala 800gm sementara Baem menaikkan seekor ikan Belida hampir setengah kilo.

Menjelang tengahari panas mulai membingit dan air sungai Nabahan mulai pasang mati. Getuan udang galah kembali sunyi dan hanya sesekali ikan baung dan ikan belida silih berganti meliggan umpan.

 Sebahagian hasil pancingan Mamai.
HASIL PANCINGAN: Sebahagian hasil pancingan Mamai.

Kami tetap sabar menunggu sambaran penghuni dasar sungai Nabahan sambil menikmati bekalan yang belum sempat dijamah sejak pagi tadi.

Ketika air sungai mulai pasang tetiba pancing Mamai melentur dan dengan pantas dia mencapai joran dan menggolong kekili pelahan namun gagal kerana tersangkut di reba kayu tidak jauh dari perahu kami berlabuh.

Sementara menunggu sambaran penghuni dasar, penulis mengambil kesempatan melelapkan mata melayan kantuk dan lelah.

Memandu sejauh lebih 90km seawal subuh seorang diri ke Weston terasa meletihkan namun kerana ingin menikmati tarikan sepit biru cukup menggugah perasaan.

Menjelang waktu petang tekong Baem membawa kami ke lubuk beringin tidak jauh dari skim perumahan nelayan.

Sekor demi seekor sepit biru kami naikkan diselang seli dengan sambaran ikan baung,otek-otek dan ikan belida.

 Hasil buruan sepit biru sungai Weston.
HASIL BURUAN: Hasil buruan sepit biru sungai Weston.

Udang sebenarnya tidak memilih umpan, tetapi pemancing mesti juga memikirkan ketahanan umpan dimata kail, antaranya cacing, perumpun, udang kecil, isi ikan.

Namun pilihan utama tetap cacing tanah kerana berkaitan rapat dengan bentuk badannya di mata kail dan kesesuaian satu-satu lubuk udang tersebut.

Selain itu isyarat udang memakan umpan adalah tidak sama mengikut keadaan dimana kekadang kala udang memakan umpan tanpa menunjukkan sebarang gerakan.

Sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar. (jangan terkejut) jawapan akan diketahui di separuh perjalanan udang semasa hendak dinaikkan.

 Ikan baung yang turut meliggan umpan.
BAUNG: Ikan baung yang turut meliggan umpan.

Satu lagi yang perlu diperhatikan pemancing, ketika memancing udang, sikap malas jangan diamalkan. Umpan perlu selalu diperiksa dimata kail.

Menjelang petang ketika air sungai kembali surut, kami menamatkan misi memburu sepit biru menuju balik ke jeti.

  • oleh
  • Advertisement