Anda di sini

BERSATU Sabah cadang wujudkan semula JPPS

Advertisement
 Hajiji (tengah) ketika mempengerusikan Mesyarat Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah.
MESYUARAT: Hajiji (tengah) ketika mempengerusikan Mesyarat Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta mewujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) berikutan Kerajaan Negeri Sabah kini berstatus pembangkang di peringkat Persekutuan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, JPPS pernah diwujudkan di Sabah semasa Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah Sabah sebagai pembangkang.

Beliau berkata, dengan perkembangan politik mutakhir dan kerajaan Warisan Sabah kini adalah pembangkang, maka adalah wajar JPPS diwujudkan semula sebagai platform mewakili Kerajaan Persekutuan di Sabah.

Katanya, penubuhan JPPS amat penting sebagai instrumen Persekutuan untuk menyelia, memantau dan menyelaras pengagihan peruntukan pembangunan Persekutuan di peringkat negeri.

"BERSATU Sabah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan segera mewujudkan JPPS bagi menjayakan segala program dan projek pembangunan yang disalurkan Pusat kepada Negeri Sabah.

"JPPS juga berfungsi sebagai wakil Kerajaan Pusat, perantara dan penghubung antara Pusat dan negeri seperti yang telah diwujudkan di negeri Kelantan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah di Alamesra.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga perlu mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah bagi memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di peringkat akar umbi.

Katanya, Sabah kini mempunyai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan pelantikannya masih dibawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembayaran elaun.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, adalah menjadi amalan biasa peruntukan pembangunan Kerajaan Pusat tidak akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri dari parti pembangkang.

Beliau optimis, menerusi JPPS, kerajaan Pusat dapat membantu membangun dan memajukan Sabah khususnya kawasan luar bandar yang masih ketinggalan menerusi peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada JPPS.

"Kita tidak mahu rakyat dan negeri Sabah rugi dan menderita akibat peruntukan pembangunan tidak sampai kerana Kerajaan Sabah adalah pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan.

Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya UPKO dan PH Sabah kekal menyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di blok pembangkang dan tidak kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjadi Kerajaan Persekutuan.

Advertisement